Pelakon, Fizo Omar tidak menyangka rezekinya dikurniakan dua cahaya mata bersama isteri, Fazeera Nazri, 26, dalam tempoh setahun dan baginya ia adalah perkara di luar jangkaan.
Menurut pemilik nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar, 37, ia adalah rezeki diaturkan Allah untuk dirinya dan juga isteri.
"Saya bersyukur dengan rezeki dua anak dalam tempoh setahun dan ia memang di luar jangkaan. Tetapi, untuk anak seterusnya mungkin perlu jarak lama sedikit.
"Mungkin dalam beberapa tahun lagi barulah kami akan berusaha untuk anak seterusnya jika diberikan rezeki," katanya.
Fizo mengakui meskipun ada cabaran besar untuk membesarkan dua anak yang masih kecil, beliau melihat itu dari sisi positif.
"Saya dan isteri boleh didik anak dan mahu memudahkan urusan persekolahan mereka. Selain itu, anak-anak boleh membesar bersama dan ada teman untuk bermain.
"Ramai netizen yang memberi pandangan mengenai jarak kelahiran antara dua anak kami. Tapi, pada perspektif saya ia adalah bagus untuk perkembangan anak-anak.
"Sebagai keluarga, kami akan letih sekali jalan sahaja. Mungkin kos sara hidup meningkat ketika ini, tetapi sebenarnya kami dapat jimat banyak kerana semuanya dibelanjakan sekali jalan sahaja," ujarnya lagi.
Meskipun ada pihak yang mempersoalkan rezeki yang diperolehnya ini, Fizo menjelaskan ia adalah kebaikan jangka masa panjang.
"Sekarang ini usia saya hampir mencecah 40 tahun. Saya tiada masalah untuk dukung anak pada usia 50 tahun, tetapi, bagaimana untuk 10 hingga 20 tahun akan datang apabila anak-anak sudah besar.
"Adakah saya sebagai bapa masih larat untuk bekerja bagi menampung kos pendidikan anak dan sebagainya pada ketika itu. Jadi, itu adalah perkara yang saya fikirkan.
"Mungkin kos pendidikan dan sebagainya pada ketika ini semakin tinggi, apatah lagi perlu menampung lebih daripada seorang anak. Biar susah sekarang, tetapi suatu hari nanti boleh melihat anak membesar dengan tenang," demikian menurut Fizo dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Fizo pernah dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Maryam, 6, bersama bekas isteri, Mawar Karim. Fizo kemudian berkahwin bersama Fazeera pada Oktober 2021 dan kini dikurniakan lagi dua orang cahaya mata.
Sumber: BH