Pelakon, penyanyi dan usahawan, Nur Fazura menyifatkan dakwaan kononnya beliau berkunjung ke sebuah kelab malam di Indonesia adalah sebagai satu tuduhan berat yang sengaja dilemparkan untuk menjatuhkannya.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin, beliau perlu bersuara mengenai tuduhan ini selepas penat dicemuh dengan pelbagai fitnah.
“Sebenarnya saya tak mahu komen panjang tentang hal ini kerana bertahun-tahun melalui perkara sama. Saya ingatkan dah habis. Rupa-rupanya masih ada lagi.
“Saya pun manusia biasa dan tak pernah sebelum ini kata saya yang terpaling solehah, mengaji setiap hari atau sentiasa solat, cuma saya cuba menjadi muslimah lebih baik dan kekal istiqamah.
“Tidak dinafikan saya masih pakai hoodie dan bertopi, malah saya selalu kongsi di media sosial, tapi untuk mengatakan saya berhibur di kelab malam, itu satu tuduhan yang sangat besar,” katanya.
Dalam pada itu, Fazura akui gemar untuk berhibur sambil menari kerana ia adalah salah satu rutin baginya untuk meredakan tekanan kerja.
“Kadang-kadang saya pergi karaoke dan makan bersama rakan-rakan, tidak semestinya ke kelab sebab banyak restoran sekarang yang gelap dan pasang muzik.
“Tetapi walaupun kita berhibur, kita tetap ingat kepada Allah. Tidak semestinya berhibur sampai lupa diri. Saya tahu setakat mana batas saya.
“Nak ‘clubbing’ pun kat mana? Zouk pun dah tutup sekarang,” kata Fazura lagi.
Fazura menambah, beliau berasa pelik apabila sering menjadi sasaran tohmahan netizen walaupun hanya sibuk dengan halnya sendiri.
Terdahulu, tular satu komen pengikut tegar seorang selebriti tempatan lain yang mendakwa ada seorang artis bertudung pergi ke kelab malam dengan hanya berhoodie ketika berada di Indonesia, baru-baru ini.
“Nak ‘launching’ tudung baru nak ‘post’ pasal Palestin. Pergi negara seberang ‘clubbing’, buka tudung, pakai hoodie je, leher semua terdedah,” demikian komen netizen yang tular dalam TikTok.
Video tersebut bagaimanapun telah dipadam selepas ia mendapat perhatian ramai warganet.
Sumber: Kosmo! Online / Astro Radio News