'Tak Mahu Buka Aib Sesiapa' - Farisha Iris Tak Jadi Berkahwin Hujung Tahun Ini

Penyanyi Farisha Iris yang menyimpan hasrat untuk menamatkan zaman bujangnya pada hujung tahun ini berkecai selepas hubungannya bersama kekasih putus di tengah jalan.

Menurut Farisha yang enggan berkongsi punca mengapa hubungan itu berakhir selepas lebih setahun bersama kerana tidak mahu membuka aib sesiapa. 

“Khabar angin kata saya nak kahwin, itu dah tidak jadi. Sepatutnya perancangan pada hujung tahun ini, tetapi tidak jadi disebabkan beberapa hal tertentu.

“Agak tidak elok untuk saya kongsikan sebabnya kerana tidak mahu aib sesiapa yang terkeluar nanti.

“Namun, kedua-dua belah pihak mengetahui perancangan ini tapi itulah, jodoh kami tak panjang,” katanya. 

Akui masih bersedih dengan perkara ini namun Farisha reda dan menegaskan restu ibu bapa adalah penting untuk sebuah hubungan itu apatah lagi jika mahu mendirikan rumah tangga. 

“Saya rasa mungkin dia terlalu baik untuk saya atau mungkin belum masanya untuk berkahwin. Orang kata belum sampai seru. Hubungan saya dan dia masih baik. Saya tidak suka bermusuhan dengan sesiapa.

“Tipu lah kalau cakap saya tidak sedih. Apa pun yang paling penting untuk seseorang itu berkahwin adalah restu daripada kedua-dua orang tua.

“Sebagai contoh, kalau keluarga kata tidak okey bermaksud tidak okey pasangan kita. Saya turuti pandangan keluarga dalam setiap keputusan,” katanya. 

Farisha ini hanya mahu lebih fokus dengan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan komunikasi media di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sumber Kosmo