Pelakon Erysha Emyra akui tidak pernah bersikap cerewet memilih hero gandingannya dalam mana-mana naskhah malah dia percaya setiap pelakon lelaki yang dipilih pasti mempunyai kelebihan sendiri.
“Setakat ini saya tidak selektif dalam menerima sebarang tawaran lakonan dengan mana-mana hero. Kalau pihak produksi sudah pilih, saya juga perlu letakkan kepercayaan terhadap pelakon tersebut.
“Mungkin pihak produksi nampak kelebihan dan keserasian kami, jadi tidak ada istilah saya memilih hero setakat ini,” katanya.
Dalam pada itu, Erysha turut sedar bahawa bakatnya juga pasti pernah dipersoalkan sebelum ini apabila dipilih menjadi heroin sesebuah naskhah.
“Semua pelakon harus diberi peluang untuk berganding dengan mana-mana hero atau heroin dalam drama.
“Saya sendiri bermula dari ‘zero’ dan pasti pada awalnya ramai mempersoalkan siapa wanita bernama Erysha Emyra yang dipilih menjadi heroin untuk drama?
“Ketika diberi peluang pegang watak heroin sebelum ini, saya juga persoal diri sendiri, layak ke saya sedangkan hanya baru berlakon beberapa drama sahaja,” katanya.
Sumber: Kosmo