Big Stage, rancangan realiti popular dengan slogan Dominasi BBNU, kini kembali untuk musim kelima!
Selepas menobatkan Elica Paujin sebagai juara tahun lepas, pengurus saluran Astro Ria, Idlan Zahari telah membuat banyak pembaharuan untuk musim kali ini, termasuk pengacara, juri, dan konsep yang kesemuanya diubah.
Selain itu, musim kali ini Big Stage tidak hanya menampilkan penyanyi solo, malah juga ada peserta duo dan berkumpulan. Semua ini dilakukan berdasarkan data dan maklum balas peminat Big Stage.
Menurut Idlan, "Kali ini kami nak beri lebih tumpuan kepada anak muda yang minat muzik dan pastinya ada lebih banyak kejutan yang akan kami bawakan untuk musim kali ini".
Semua peserta kali ini telah menghadiri boot camp bagi mempersiapkan diri untuk menempuh cabaran di pentas nyanyian tersebut. Antara peserta yang membarisi Big Stage musim ini adalah Meernash, Nadeera, Coex, Dem Lepak Boyz, dan Firdaus Rahmat, selain empat lagi peserta dari Indonesia, Brunei, Singapura dan Korea.
Dalam pada itu, Elly Mazlien dan Rina Nose juga telah diberi mandat sebagai pengacara Big Stage musim kali ini. Lihat reaksi warganet apabila tahu kedua-dua figura ini menjadi pengacara bagi program ini:
Tambah pula, Aina Abdul juga dilantik sebagai juri tetap Big Stage musim terbaharu. Musim kali ini akan bersiaran secara langsung selama sepuluh minggu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9 malam mulai 7 Mei 2023 untuk 10 minggu.
Sejak pertandingan 'Big Stage' dimulakan, ia telah menobatkan empat juara, iaitu Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan, Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020), dan Elica Paujin (2022).
Sumber: Astro AWANI