Dengarkan kisah Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dalam Confession Bilik Gelap Musim Ketiga!
“Ibu saya diceraikan. Kami hidup dalam keadaan susah. Apabila saya mendapat ayah tiri, kami dipulaukan pula oleh keluarga ayah tiri. Kami terpaksa merantau ke sana sini, mencari pekerjaan demi sesuap nasi.”
Ujarnya lagi, “Apabila berada di sekolah rendah, saya diuji dengan pelbagai penyakit. Malah pernah jatuh sakit dengan teruk sehingga hampir dikatakan lumpuh. Namun percaturan Allah SWT itu indah. Selepas bertalu-talu diuji, Allah SWT memberikan saya sedikit kelebihan dan keunikan dalam menjadi manusia yang berjaya.”
Demikianlah pengakuan jujur lagi merendah diri oleh seorang anak desa. Kendatipun begitu, benih yang baik dicampak ke darat pasti menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau.
Dia adalah Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, budak kampung, anak jati tanah tumpah darah Alor Star Kedah.
Kalau dahulu, kerana kemiskinan, beliau terpaksa berjalan sejauh dua kilometer setiap hari untuk ke Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Baru. Kerana kemiskinan, dia pasrah memakai kasut koyak. Dia merintih dalam hati kerana terpaksa mengikat perut menahan lapar yang amat sangat kerana makanannya dicatu.
Namun kini, beliau mengukir sejarah paling luar biasa apabila Kedah Darul Aman Football Club (KDA FC) mengumumkannya sebagai pemilik saham terbesar Darul Aman Football Club Sdn Bhd.
Keterampilan dan karisma Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar untuk memimpin sebuah pasukan bola sepak memang tidak dapat dinafikan. Apatah lagi apabila pada Disember 2020, nilai pasukan Kedah Darul Aman (KDA FC) telah diletakkan pada harga RM30 juta oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor.
Tidak syak lagi, sebuah pasukan profesional seperti Sang Kenari memerlukan sentuhan emas seorang genius kewangan Islamik seperti Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.
Terkini, dalam program Ziarah Cakna peringkat Kedah bersama semua Pegawai Pendidikan Daerah dari seluruh negeri, air mata Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tumpas kerana terlalu sedih melihat kehidupan seorang pelajar tingkatan tiga yang dihimpit kemiskinan.
Kala berziarah ke rumah Nurfatin Hanis Abdullah, 15, pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Sik, beliau menyaksikan sendiri hakikat pahit kemiskinan, yang suatu masa dahulu pernah membelit kehidupannya juga.
Cemerlang dalam akademik, namun Nurfatin Hanis terpaksa menolak tawaran belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana kerana menjaga bapanya yang separuh lumpuh akibat angin ahmar. Selain itu, Nurfatin juga menggalas tanggungjawab sebagai penjaga ibunya yang tidak sihat selain menghantar dan mengambil adik-adiknya di sekolah.
"Kelopak mata saya terasa berat. Air mata halus mula menolak keluar. Saya datang ke sebuah rumah yang berlubang-lubang tapi berjumpa seorang hero hebat. Unsung hero.”
Begitu luahan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dalam satu status Facebook.
Peristiwa tersebut telah mendorong beliau mengambil pelajar tersebut sebagai anak angkat KDA FC pertama lantas menjadi pembiaya penuh hingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Demikianlah kehebatan dan karisma luar biasa seorang budak miskin yang suatu masa dulu hampir lumpuh dan mengalah kepada takdir. Namun kini, dia menambah keunggulan portfolio apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022, bahkan dinobatkan sebagai antara lima Penasihat Syariah terbaik dan terkemuka di dunia.
Alangkah benar, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Syabas Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar!