Baru-baru ini, nama Dr Amalina Che Bakri menjadi perbualan hangat netizen selepas beliau mengeluarkan kenyataan memilih status kewarganegaraan British kepada cahaya matanya, menerusi satu hantaran tular di Instagram miliknya.
Bagaimanapun, enggan orang ramai salah faham dengan keputusan yang diambilnya, Dr Amalina tampil menjelaskan mengenai perkara tersebut.
“Anda mungkin sedia maklum, sekiranya wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki bukan warganegara Malaysia, yang bersalin di luar Malaysia, anak mereka tidak dibenarkan untuk diberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik.
“Sudah tentu saya ingin anak-anak saya menjadi rakyat Malaysia, tetapi suami saya adalah warga British dan kami bekerja dan menetap di United Kingdom (UK).
“Disebabkan komitmen saya di sini, saya tidak dapat pulang ke Malaysia untuk bersalin. Saya kini sedang sarat hamil (trimester tiga) dan masih bekerja. Mengambil penerbangan jarak jauh dan cuti kerja bukanlah pilihan terbaik untuk kami dan bayi.
“Ini adalah keputusan yang terbaik untuk kami sekeluarga dan ini pilihan kami,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun akan tetap membesarkan anaknya dengan nilai-nilai murni terbaik dari Malaysia, UK dan paling utama, agama Islam.
“Walaupun tinggal di UK dan kewarganegaraan British, anak-anak kami akan tetap berdarah kacukan Melayu. Percampuran dua budaya akan memberikan mereka kehidupan yang berwarna-warni.
“Saya akan membesarkan mereka untuk memahami nilai-nilai Malaysia dan Islam, serta mempelajari Bahasa Melayu.
“Pada akhirnya, tidak kira di mana mereka tinggal atau passport negara mana yang mereka ada, yang penting mereka adalah insan yang mempunyai nilai moral yang baik di mana boleh menyumbang kepada kemanusiaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa tujuannya memilih untuk menetap UK bukan untuk suka-suka.
“Saya bekerja, menyambung kepakaran dan membuat PhD supaya menjadi pakar terbaik dalam bidang saya. PhD saya ditaja oleh geran NIHR UK dan saya memenangi fellowship daripada Imperial College London atas usaha saya sendiri.
“Specialist training saya dibayar oleh duit cukai rakyat UK setelah bersaing dengan beribu rakyat UK dan ‘international graduates’ untuk mendapat tempat dalam program ini,” ujarnya.
Dr Amalina mendirikan rumah tangga besama pilihan hatinya, Alexander Charles pada 31 Mac 2021 di London.
Sumber: SinarPlus