'Saya Gagal Sebagai Suami' - Dato Red

“Impian pasangan suami isteri apabila berkahwin adalah nak bahagia dan kemesraan. Tetapi, saya beritahu mereka (Datin Red dan Adira), saya gagal bagi kebahagiaan macam keluarga lain, terutama bab kewangan,” kata usahawan Datuk Seri Adnan Abu.

Menurut Adanan atau dikenali sebagai Datuk Red, dia reda dengan apa yang berlaku membabitkan perkahwinan dibina selain tidak mahu bermusuh dengan mereka.

“Saya pernah cakap Datin Red dan Adira, mereka muda lagi dan ada masa depan. Saya cakap, jika perceraian juga menjadi pilihan mereka, tak apa saya reda. Saya akan doakan kebahagaain mereka. Saya tidak mahu bermusuh.

“Sekarang ini, saya fikir untuk berniaga saja. Kalau rumah tangga, saya fikir anak-anak tetap menjadi tanggungjawab saya sampai bila-bika. Kalau tidak ada isteri pun, mereka tetap menjadi kawan saya,” katanya pada SYOK Podcast, Confession Bilik Gelap.

Menerusi program sama, Adnan berkata kehidupan dilalui kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

“Saya pun tak tahu nak cakap apa. Saya senyum dan gelak saja. Diakui macam-macam masalah timbul. Tiba-tiba di atas, ekonomi kita jatuh, bukan satu, kedua-dua isteri mohon cerai. Saya tak tahu nak buat apa, saya reda saja.

“Apa yang akan datang saya tak boleh reda saja tapi kena fikir juga. Kiranya kena bersedia dengan segala kemungkinan. Sebab, saya ada tanggungjawab besar. Saya tak boleh ikutkan hati, fikir nak ‘down’ atau apa. Masa itu dah tiada. Saya kena kuat. Alang-alang melangkah, teruskan saja melangkah,” katanya.

Menurutnya, dia sentiasa berusaha untuk mempertahankan perkahwinan dibina selain tidak henti memujuk.

“Macam Adira dia fail cerai tahun lepas. Dari saat itu saya cuba pujuk semula sampai tarikh akhir 24 April ini. Saya merayu, pujuk dan berserah pada Allah. 

“Sebenarnya, selagi boleh diselamatkan, saya cuba selamatkan. Saya mengenang dah ada empat anak dengan Adira. Itu satu pengorbanan untuk anak-anak saya. Tapi itu lah, macam orang kata, jika kita tak boleh nak bagi kebahagiaan kepada isteri-isteri, jangan bagi mereka menderita

“Macam dengan Adira pun, selepas dia balik umrah, saya tak tanya soal nak tarik permohonan cerai atau tak. Saya biarkan saja dan kami jalankan kehidupan macam biasa. Biarlah ia berakhir dengan air mata kegembiraan. Itu yang saya nanti,” katanya.

Terdahulu, perkahwinan membabitkan Adnan dan Adira Suhaimi, 32, terlerai dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor, hari ini.

Lafaz cerai itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar sekitar pukul 9.45 sekali gus mengesahkan lafaz itu adalah mengikut hukum syarak. 

Pada masa sama, Adira juga bersetuju untuk tidak menuntut sebarang nafkah terhadap Datuk Red. 

Sepatutnya hari ini berlangsung pelantikan hakam bagi kedua-dua belah pihak, namun Datuk Red bersetuju untuk melafazkan cerai.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan perceraian berikutan tiada persefahaman. Sebelum ini, Adira pernah memfailkan perceraian pada 2019, namun menarik semula demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia setahun.

Perkahwinan Adnan dengan isteri pertamanya yang dikenali sebagai Datin Red atau Datin Seri Sharifah Norshafil turut berdepan ujian apabila isteri pertamanya itu memfailkan permohonan saman. 

Perkongsian hidup bersama Datin Red, mereka mempunyai lima anak.

Sebelum perkahwinan itu, Adnan pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun dan berpisah lima tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu, dia dikurniakan dua anak dan secara keseluruhan mempunyai 11 anak menerusi tiga perkahwinan.

Saksikan episod penuh di: