Aktiviti ziarah kubur di luar waktu perayaan Aidilfitri atau Aidiladha adalah dibenarkan dengan syarat mengikut prosedur operasi standard (SOP) am yang ditetapkan pihak berkuasa.
Menurut Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, tiada SOP khusus mengenai ziarah kubur diluar waktu perayaan dan hanya tertakluk kepada SOP am seperti pemakaian pelitup muka, menjaga kebersihan dan juga penjarakan fizikal antara pengunjung yang hadir.
Katanya lagi, SOP ziarah kubur yang ditetapkan adalah bagi ketika perayaan Aidilfitri dan juga Aidiladha, maka ia tidak sepatutnya menjadi isu dan juga dibenarkan bagi keadaan di luar musim perayaan.
"Apa yang penting ialah setiap mereka yang menziarah kubur ini mesti memastikan supaya penjarakan fizikal satu meter diamalkan dan pemakaian pelitup muka dilaksanakan disamping menjaga kebersihan seperti mencuci tangan dan sebagainya.
"Jadi dengan itu, perkara mengenai ziarah kubur dibenarkan dan ia mesti tertakluk kepada SOP am yang diterbitkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa," katanya,.
Sumber: Astro Awani