Bekas Finalis Ceria Megastar Ministar, Aliff Idham Bikin Comeback Pertama Dengan Petanda

Artis cilik, Aliff Idham, juga merupakan bekas peserta program realiti Ceria Megastar Ministar 2019 kembali melangkah dalam perjalanan seninya menerusi single pertama yang berjudul “Petanda”.

bekas finalis ceria megastar ministar, aliff idham beri “petanda” sinari industri muzik

Terdahulu, Aliff Idham atau nama sebenar Muhammad Aliff Idham bin Rusli berjaya merangkul tempat ketiga dalam Ceria Megastar Ministar 2019.

Dalam program terbabit juga, Aliff yang hanya berusia 13 tahun pada ketika itu menerima bimbingan daripada Megastar, Vanessa Reynauld yang dahulunya merupakan bekas finalis Ceria Popstar 3.

Teruja dengan pelancaran single debut Aliff, Pengarah Urusan Ace Talents, Azuein Alonto mengakui bahawa beliau tidak menyesal menyunting artis cilik yang kini mencecah usia 15 tahun itu sebagai barisan artis naungannya.

Ujarnya, “Walaupun hanya baru berusia 15 tahun, kerjayanya sebagai anak seni lebih serius selepas saya sendiri melamar Aliff untuk menyertai Ace Talents sebagai artis rakaman dan pengurusan sepenuhnya.”

Biarpun usianya muda, namun ia bukanlah penghalang buat artis cilik ini daripada berjinak-jinak sebagai komposer dan penulis lirik menerusi karyanya sendiri.

Hasilnya dapat didengarkan menerusi “Petanda” yang memperlihatkan kematangan bakat muda ini dalam bergelar komposer berserta penulis lirik yang merungkai mengenai hubungan percintaan yang tidak kesampaian.

“Petanda” mengisahkan kisah duka dialami sepasang kekasih yang terpisah akibat wujudnya pihak ketiga.

Takdir kemudiannya melihat salah seorang daripada mereka meninggal dunia akibat kemalangan yang tidak disangka-sangka sekali gus menyebabkan hubungan tersebut terputus di pertengahan jalan. Akur dengan ketentuan tuhan, pasangan yang masih hidup itu meneruskan kehidupannya dengan pasrah terhadap kehilangan tersebut.

Dalam pada itu, tambah Azuein lagi, Aliff pernah berkongsi luahan bahawa dia amat meminati penyanyi dari negara seberang iaitu Judika.

Katanya, “Aliff Idham pernah menyatakan hasratnya untuk berada di atas satu pentas bersama Judika suatu hari nanti.

“Secara peribadinya, saya yakin bakat seperti Aliff ini mampu berdiri setanding bakat-bakat ternama seperti Faizal Tahir, Judika, Haqiem Rusli dan ramai lagi.”

Lagu “Petanda” telah dikeluarkan pada 2 April lalu dan kini boleh didengarkan di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, KKBox, Joox, Deezer Music, Apple Music, iTunes dan lain-lain.

ARTIKEL BERKAITAN