Penyanyi, Aina Abdul, membelanjakan sebanyak RM520,000 untuk tiga mikrofon serta lima busana ekslusif yang digunakannya pada konsert Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Konsert yang dihadiri lebih 10,000 peminat itu melibatkan seramai 40 krew yang ditugaskan untuk menyiapkan setiap persalinan yang ditampilkan dengan masa terhad.
"Kelima-lima busana yang digayakan saya hanya sempat buat percubaan sekali saja. Itupun sewaktu sesi raptai penuh yang berlangsung semalam (Jumaat).
"Cabaran kali ini amat berbeza sewaktu konsert Aina Abdul 2.0 di Istana Budaya tahun lalu. Namun Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar.
"Kalau anda nak tahu saya hanya ada masa empat minit untuk menukar setiap persalinan ketika konsert berlangsung. Jadi boleh bayangkan tekanan yang saya dan krew perlu lalui, tapi syukur semuanya mengikut seperti yang dirancang," katanya.
Menerusi video yang tular, salah satu pakaian dipakai Aina iaitu gaun berwarna biru dilihat boleh mengeluarkan kepulan asap ketika beliau melakukan persembahan.
Untuk info, konsert itu telah menelan belanja sebanyak RM 1.8 juta, dengan hampir 98 peratus tiket terjual.
Sumber: HMetro