“Melihat Anak Istimewa Saya Kena Maki Dan Dihalau..” - Edry Abdul Halim

Komposer dan penyanyi Edry Abdul Halim terkenang kejadian pahit apabila anak autisme dimaki pekerja kedai dan dia berharap agar orang ramai lebih cakna terhadap situasi membabitkan kanak-kanak kelainan upaya (OKU).

 

“Insiden itu dua minit tapi parut berada dalam keadaan tersebut akan berbekas sepanjang hayat disebabkan anak autisme saya dimaki kerana nak minum air.

 

“Tujuan saya berkongsi pengalaman tersebut bukanlah nak memalukan kakitangan atau tularkan kedai itu. Cuma nak masyarakat faham. Apa pun kerana dua botol air dan dua minit itu, kami sekeluarga berdepan memori pahit.

 

“Melihat seseorang kena maki macam halau anjing, apatah lagi anak istimewa, bagi saya itu bukanlah layanan yang sepatutnya buat mereka,” katanya. 

 

Menurut Edry, semestinya tiada ibu bapa yang mahu melihat anak mereka menjadi bahan kemarahan orang tambahan lagi jika anak itu seorang yang istimewa seperti Emery yang tidak boleh bercakap atau menunjukkan kehendaknya melalui kata-kata walaupun sudah berusia 17 tahun.

 

“Masa itu saya kata ‘Emery kedai dah tutup’. Ada juga bagi ‘hint’ kepada pekerja kedai itu yang dia tak boleh cakap. Kalau tengok pun tahu dia tak macam orang normal. Individu itu berulang kali sebut ‘closed’ (tutup).

 

“Saya bagi tahu dia (Emery) nak tengok menu, bagi dia puas hati. Kemudian Emery meluru ke peti sejuk mengambil air. Waktu itulah pekerja terbabit jerit depan muka Emery. Dia tak marah pada saya.

 

“Bila dia jerit ke Emery, saya tak boleh tahan dan terpaksa tunjuk jari saya ke kepala tanda gila. Boleh dapat bayangkan tak sebagai ayah saya terpaksa kata anak saya gila agar pekerja itu faham keadaan Emery,” ujarnya.

 

Sumber: Kosmo