‘Bukan Tiada Tawaran Berlakon, Saya Pilih Untuk Berehat’ - Aliff Aziz

Pelakon Aliff Aziz akui kini sedang berehat sebelum ingin kembali aktif dalam bidang lakonan. 

Menurutnya, kini dia banyak menghabiskan masa bersama keluarga di Singapura. 

“Sekarang saya banyak habiskan masa untuk berehat dari segi mental dan emosi. Kadang-kadang orang kata konon macam kitalah yang terpaling sedih, tidak begitu pun.

“Saya manusia biasa yang ada banyak kesilapan jadi saya ambil masa untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

“Ada beberapa perkara yang sedang saya usahakan dan kini kembali perlahan-lahan untuk kumpul semula semangat serta lebih akrabkan lagi hubungan antara keluarga saya di Singapura,” katanya. 

Dalam pada itu, Aliff juga menegaskan dia bukan tidak menerima tawaran lakonan sebaliknya memilih untuk menenangkan diri. 

“Berehat itu bukan maksudnya menolak dan tiada tawaran tetapi saya pilih untuk bertenang sekejap supaya tidak terburu-buru buat sebarang keputusan berkaitan kerjaya atau apa sahaja.

“Jadi, kini saya lebih kepada berehat dan banyak menyanyi dalam media sosial menghiburkan hati,” katanya lagi.

Sumber: Kosmo