Nama pemuda berusia 29 tahun ini kian menjadi popular selepas beberapa hantaran video di aplikasi TikTok menjadi tular.
Semuanya gara-gara video yang dimuat naik Aizat Saha berkonsepkan 'point of view' atau POV mengenai pasangan kekasih yang sedang bahagia dan bergaduh di TikTok hingga menarik perhatian warganet.
**
Disebabkan itu, Aizat atau nama sebenar Mohd Aizat Saharuddin terus digelar Abang POV. Malah, dia juga memegang 'title' sebagai 'Boyfriend Online' atau kekasih dalam talian yang diberikan oleh pengguna laman sosial.
Aizat yang berasal dari Klang, Selangor berkata, gelaran diberikan itu bukan masalah buat dirinya.
"Saya okay, sebab itu adalah pendedahan yang sudah diberikan kepada saya dan dibawa, jadi takkan lah saya tak okay pula.
"Ini kerana, apabila saya bersetuju untuk ke depankan diri untuk semua orang, ia bermakna saya perlu bersedia apa saja dengan panggilan dan gelaran yang mereka tentukan termasuk komen.
"Namun, hakikatnya kehidupan peribadi hanya saya saja tahu. Saya perlu ada batas untuk menentukan antara peribadi dan perkara yang boleh dikongsikan," katanya pada SYOK Podcast Confession Bilik Gelap.
Menurutnya, kandungan video dimuat naik diinspirasikan daripada pengalaman hidup sendiri selain kisah orang sekeliling.
"Sejujurnya, saya juga pernah melalui situasi bercinta, bergaduh dan putus cinta. Pernah kalau bergaduh, tidur dalam kereta dan tunggu depan rumah. Itu dulu punya 'effort' pada zaman remaja.
"Saya buat kandungan seperti itu bukan nak mengimbau semula atau tak 'move on', tapi saya nak orang ramai menikmati saja. Ia pasti akan lebih menarik. Jangan terlalu bebankan diri dengan apa dipaparkan. Sebab, bagi sesiapa yang pernah melalui situasi itu pasti akan tersenyum.
"Nak bercakap soal 'effort', dalam perhubungan ini lelaki kena mainkan peranan. Sebab perempuan insan yang lemah. Jadi, sebagai lelaki kena faham apa yang mereka suka. Mereka suka kalau pasangan itu ada 'effort'," katanya.
Menerusi episod itu juga, Aizat mendedahkan dia sudah tidak lagi berkhidmat sebagai pramugara di sebuah syarikat penerbangan tempatan.
Menurut Aizat, sebab utama dia meninggalkan kerjayanya itu adalah bukan kerana mahu memberi fokus pada bidang seni semata-mata, tapi juga bisnes jenama pakaian yang diusahakan, Heetam Puteh.
“Saya sudah berhenti kerja sebagai pramugara di Air Asia. Saya tidak menyesal, tapi akan merindui pekerjaan itu. Sebab ia antara kerjaya yang diimpikan juga.
"Saya pergi temu duga pun tiga kali, kali ketiga baru dapat. Jadi, saya tahu macam mana susah nak dapat kerjaya ini. Latihan pun hampir dua bulan sebelum boleh mula bertugas.
"Banyak juga 'effort' saya letakkan untuk bekerja dalam bidang itu. Tapi macam sekarang saya lebih memandang apa yang ada di depan mata. Saya juga ambil kira, apa yang hati saya benar-benar inginkan. Jadi, dengan keputusan meninggalkan kerjaya sebagai kru kabin, insya-Allah, ada rezeki lain yang lebih baik," katanya.