Atlet negara, Nur Dhabitah Sabri, berjaya menduduki tempat keempat dalam acara akhir terjun 3 meter papan anjal individu wanita di Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Pencapaian ini pasti membuatkan ramai rakyat Malaysia berasa bangga meskipun gadis berusia 22 tahun itu tidak dapat membawa pingat pulang ke tanah air.
Menerusi satu temubual selepas selesai acara final sebentar tadi, dapat dilihat air mata atlet itu tumpah dan membuatkan ramai warganet turut sama sebak selepas Dhabitah meluahkan rasa gembira dengan pencapaian diri yang mampu bersaing dengan atlet luar.
Dapat dilihat Dhabitah menangis sambil tersenyum apabila ditemubual oleh wartawan.
Dalam temubual berkenaan, Dhabitah memberitahu yang dia hilang keyakinan diri sebelum berangkat ke Tokyo, namun beliau berjaya melawan rasa tersebut dan melakukan yang terbaik di Olimpik.
“I nangis bukan sebab sedih tak menang, tapi sebab sangat bangga dengan diri saya…sebab semua ni sangat sukar. Saya hilang keyakinan sebelum Olimpik…semuanya. Sampai sebelum datang Olimpik pun saya macam tak pasti tentang diri sendiri.”
“Jadi, bila saya dapat perform..saya sangat bangga dengan apa yang telah saya lakukan..” kata Dhabitah.
Carian nama Dhabitah juga kini menjadi trending di Twitter sebaik sahaja tamat acara final tersebut.
Apa pun, tahniah Dhabitah atas pencapaian yang sangat baik ini. Semoga beroleh kejayaan yang lebih baik di masa akan datang. We love you Dhabitah!
Sumber: Astro Arena