Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bersetuju membenarkan enam kategori pelajar berkeperluan untuk kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac 2021.
Enam kategori pelajar yang berkeperluan ini akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid, iaitu secara fizikal dan secara dalam talian. Perincian kategori pelajar adalah seperti berikut:
- Pelajar dari program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latihan amali, studio, bengkel dan peralatan khusus;
- Pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian;
- Pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid;
- Semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom;
- Pelajar Berkeperluan Khas (OKU); dan
- Pelajar yang menduduki peperiksaan MUET, antarabangsa dan badan profesional
Pelaksanaan PdP secara hibrid dalam kampus ini boleh dijalankan dengan mematuhi SOP dan mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar. Pelajar yang tidak termasuk dalam enam kategori ini akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian di rumah masing-masing.
Selain itu, pelajar dari Semenanjung yang akan pulang ke IPT di Sabah dan Sarawak, adalah diwajibkan menjalani ujian swab yang akan dibiayai oleh KKM.
Sumber: KPM
Foto utama: Astro Awani