Tiada Tangan, Namun Wanita Ini Tetap Hebat Uruskan Anak, Jadi Inspirasi Ramai

Biarpun keadaan fizikalnya yang tidak sempurna, wanita ini sememangnya memberi inspirasi kepada orang ramai kerana kecekalannya dalam menjalankan tugas sebagai seorang ibu.

tiada tangan, namun wanita ini tetap hebat uruskan anak, jadi inspirasi ramai

Dikenali sebagai Sarah Talbi, wanita yang berasal dari Belgium ini menjadi tular kerana tidak mempunyai tangan, tetapi masih berupaya menjaga keluarga dan menyelesaikan kerja-kerja suri rumah dengan begitu cekap sekali.

Berusia 38 tahun, Sarah dilahirkan tanpa lengan, yang mana pihak doktor sendiri tidak dapat menjelaskan keadaan tersebut.

Sejak kecil, Sarah bagaimanapun tidak merasakan yang dirinya berbeza dengan kanak-kanak lain.

Dia malahan diajar untuk berdikari dengan menjamu selera, memakai pakaian dan menyikat rambutnya sendiri dengan menggunakan kaki.

Semakin dia membesar, kemampuannya meningkat yang mana Sarah mula mempunyai keupayaan untuk memotong sayur dan buah dengan menggunakan pisau selain memakai alat solek.

tiada tangan, namun wanita ini tetap hebat uruskan anak, jadi inspirasi ramai

Kesemua itu dilakukan hanya dengan menggunakan kakinya.

“Saya dapat melakukan apa sahaja yang dilakukan wanita seusia saya, hanya dengan menggunakan kaki. Seiring bertambahnya usia, saya boleh makan, tetapi saya berjuang untuk belajar menulis,” kata Sarah.

Kini Sarah mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun yang bernama Lilia.

Pelbagai tugas yang dilakukannya dengan penuh kecekapan demi menjaga Lilia, baik dari segi memasak, menyuapkan makanan hingga menggayakan pakaian si cilik itu.

“Saya boleh melakukan apa-apa sahaja dengan kaki saya selagi saya tidak memakai kasut,” kongsinya.

“Saya boleh bersolek, berpakaian, memasak, mandi dan menjaga Lilia. Saya boleh melakukan apa-apa sahaja yang saya mahukan,” tambah Sarah lagi.

Dengan kehadiran Lilia, Sarah merasakan hidupnya sudah lengkap.

Biarpun dengan kekurangannya, seperti wanita lain, dia mengakui bahawa dia turut sama belajar dari awal tentang menjaga anak kecil dan menghadapi cabaran tersendiri.

“Saya rasa semua wanita pastinya menghadapi kesukaran untuk menjadi seorang ibu kerana ia adalah perubahan besar, ditambah dengan keadaan orang kurang upaya seperti ini. Tetapi dengan batasan fizikal ini, saya berupaya menyesuaikan diri dengan bayi,” jelas Sarah.

 

Sumber: [1]