Tak Nak Ambil Untung, Kim Jong Kook Derma Semua Hasil Pendapatan YouTube

Bintang Running Man, Kim Jong Kook menyentuh hati ramai apabila dia berkongsi yang dirinya bakal menderma kesemua hasil yang diperoleh daripada video-video YouTube di saluran peribadinya bagi tujuan kebajikan.

tak nak ambil untung, kim jong kook derma semua hasil pendapatan youtube

Menerusi satu entri yang dimuat naik pada halaman YouTube miliknya, Kim Jong Kook sempat meluahkan rasa terima kasihnya terhadap para peminat yang terus-menerus menyokong kerjayanya.

Coretnya, “Helo! Ini adalah Kim Jong Kook dari ‘Gym Jong Kook’. Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi atas sokongan luar biasa yang ditujukan terhadap perjalanan baru saya!”

“Saya berasa sedikit segan... Saya memuat naik lima video bulan ini dan saya memutuskan untuk menyumbangkan semua keuntungan daripada pendapatan saluran ini setelah menolak kos produksi yang kecil. Saya seakannya merasa sukar untuk saya terima jumlah tontonan seperti sekarang pada masa yang akan datang.

“Saya berjaya mencapai kejayaan sekarang hasil bantuan daripada ramai orang. Memandangkan saya menerima banyak sokongan dan kasih sayang daripada orang ramai, saya berpendapat bahawa ia adalah lebih baik untuk membalasnya semula dengan melakukan perbuatan yang baik. Saya percaya bahawa ia juga akan memberi pengaruh yang baik kepada mereka semua yang turut sukakan bersenam!

“Semua orang yang menyokong saluran ‘Gym Jong Kook’ terlibat dalam sumbangan ini, jadi saya harap anda semua berasa dihargai dan kekal sihat dengan bersenam!” tulisnya.

Kira-kira sebulan lalu, Jong Kook memulakan saluran YouTube pertamanya yang memfokuskan pada topik berkenaan sukan dan kesihatan.

Sejak video pertamanya, dia berjaya mengumpulkan lebih 1.91 juta dan jumlah tontonan yang mencecah lebih 38.8 juta tontonan.

Demi membalas sokongan pengikutnya yang tidak berbelah bahagi, penyanyi dan bintang Running Man yang berusia 45 tahun itu memutuskan untuk menyumbangkan kesemua hasil pendapatannya daripada YouTube atas tujuan kebajikan.

 

Sumber: [1]