Ada kalanya, kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak mereka melangkaui batas yang tidak akan pernah dapat disangka sesiapa pun. Demi kebahagiaan sang anak, mereka ini sanggup melakukan apa-apa sahaja, tanpa mengira rintangan yang terpaksa dihadapi. Asalkan anak-anak mereka itu berupaya untuk beroleh kehidupan yang baik.
Demikianlah perjuangan seorang ayah dari sebuah kampung terpencil di Kannada, India, yang mana baru-baru ini, tular foto yang memperlihatkan dirinya sanggup dibasahi hujan sambil memayungkan anak gadisnya yang sedang mengikuti kelas dalam talian.
Lelaki itu dikenali pasti sebagai Naravana, sementara anak gadisnya pula bernama Narayana dan sedang menjalani pembelajaran untuk mendapatkan sijil kelulusan sekolah menengah.
Kisah perjuangan ayah itu mula mendapat perhatian ramai apabila seorang pengguna Twitter menerusi nama @/puchhappady82 memuat naik foto itu dan mengatakan bahawa seorang gadis terpaksa mengikuti kelas dalam talian dari luar rumahnya kerana mempunyai masalah sambungan internet.
Kongsi pengguna Twitter itu lagi, setiap hari, gadis itu akan datang ke tempat yang sama sekitar jam 4 petang kerana ingin mengikuti sesi pembelajaran menerusi kelas dalam talian.
Kapsyen pengguna itu pada entri terbabit, “Di kawasan luar bandar, pelajar mengikuti kelas dalam talian seperti ini. Kerana masalah rangkaian mudah alih. Hujan lebat juga...”
Bagaimanapun, yang turut mencuri perhatian ramai dalam foto itu adalah sang ayahnya yang setia menemaninya.
Dalam foto tersebut, sepertinya sang ayah sedang melindungi anak gadisnya dengan memegang payung agar gadis itu tidak terkena hujan sementara pakaiannya sendiri kelihatan basah kuyup akibat terkena percikan hujan. Sememangnya, ia amat menyentuh hati mengenangkan jasa seorang bapa yang sanggup turut sama menghadapi kesusahan tersebut agar sang anak dapat memperoleh pendidikan.
Sumber: [1]