Selebriti ternama Bollywood dan bintang Quantico, Priyanka Chopra akui dirinya tidak menganggap Nick Jonas serius terhadapnya pada awal perkenalan mereka.
Pengakuan tersebut dibuat ketika Priyanka menjadi tetamu jemputan dalam rancangan bual bicara, Super Soul Sunday yang ditunjangi pengacara berpengaruh, Oprah Winfrey, pada Ahad lalu.
Ujar Priyanka, “Jujurnya, saya tidak menganggap Nick serius ketika dia menghantar pesanan ringkas kepada saya. Saya berumur 35 tahun pada ketika itu, saya ingin berkahwin, saya mahu mempunyai anak. Dia pula masih berusia dua puluhan, saya tidak tahu sekiranya perkara sedemikian merupakan sesuatu yang ingin dilakukannya.”
Namun, lanjutnya lagi, persepsinya terhadap Nick semakin berubah setelah mereka mengenali antara satu sama lain.
“Dia ialah seorang manusia yang yakin diri. Wajarlah begitu. Sentiasa teruja dengan segala pencapaian saya. Impian saya. Ini merupakan perkongsian sejati yang dia tawarkan kepada saya dalam semua benda yang kami lakukan bersama.”
Selain itu, bekas Miss World 2000 itu turut mendedahkan bahawa sebelum pertemuannya dengan Nick, dia pernah menyenaraikan lima perkara mengenai pasangan idamannya.
Dedahnya, dia tertarik pada lelaki yang jujur, seseorang yang sangat suka berada di samping keluarga, gemar bekerja, memahami soal perniagaan dan kewangan serta harus yakin terhadap dirinya sendiri.
Anehnya, Nick yang kemudiannya hadir dalam hidup Priyanka menepati segala ciri yang pernah dicarinya.
Terdahulu, media Hollywood melaporkan mengenai perkenalan antara Nick Jonas dan Priyanka Chopra yang mula berputik setelah penyanyi yang juga sebahagian daripada band Jonas Brothers itu mula menghantar mesej kepada Priyanka menerusi Twitter pada 2016.
Namun, hubungan cinta antara mereka hanya terjalin beberapa bulan kemudian.
Pasangan tersebut kemudiannya mengikat talian pertunangan pada Julai 2018 sebelum bergelar suami isteri pada Disember tahun yang sama.
Sumber: [1]