Pemuda Kacak Asal Indonesia Ini Digelar Tarzan Gara-Gara Tinggal Di Hutan Kalimantan

Seorang pemuda Indonesia bernama Andrew Kalaweit menerima gelaran ‘Tarzan’ gara-gara tinggal di dalam hutan Borneo negara itu.

pemuda kacak asal indonesia ini digelar tarzan gara-gara tinggal di hutan kalimantan

Andrew,anak kepada pasangan lelaki Perancis, Chanee Kalaweit dan wanita Indonesia, Prada, turut menjadi perhatian ramai kerana ketampanan rupa parasnya.

Memetik Wolipop Indonesia, bapa Andrew, Chanee Kalaweit terpikat pada ibunya, yang merupakan keturunan Dayak selepas menemui antara satu sama lain dalam satu pertemuan yang tidak disengajakan sekitar 2002.

Pasangan itu kemudian mendirikan rumahtangga bersama dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Andrew Ananda Brule Kalaweit yang dilahirkan pada 30 Januari 2004 dan Enzo Kalaweit pada 24 Disember 2009.

Menariknya, keluarga itu tinggal di hutan Kalimantan yang mana mereka menjalani kehidupan seharian dengan memanfaatkan alam semula jadi, baik dari memasak dengan hasil kebun sehingga menggunakan elektrik dengan bantuan tenaga suria.

Kini seorang remaja, Andrew yang mula meneroka hutan sejak usia lima bulan mengikut jejak langkah ayahnya.

Menerusi perkongsiannya di YouTube kepada lebih 1.14 juta pengikutnya, Andrew sering memperlihatkan aktiviti hariannya serta cara untuk hidup di dalam hutan.

Dalam satu video yang ditonton lebih 3 juta kali, Andrew menjemput adik lelakinya, Enzo untuk berkhemah di dalam hutan.

“Kami berdua akan tinggal di dalam hutan. Kami akan pergi jauh dari rumah. Saya dan Enzo akan berjalan selama dua jam dan pergi berkhemah,” katanya.

Populariti Andrew juga membuatkan dia dijemput menjadi bintang jemputan di Podcast bersama Deddy Corbuzier, yang mana dia diberi julukan ‘The Real Tarzan’ oleh Deddy.

Ketika ditemubual Deddy, kata Andrew dia tidak pernah memburu dan mencederakan haiwan liar di dalam hutan.

“Tidak pernah memburu langsung. Kerana tidak ada gunanya membunuh haiwan hanya untuk kepentingan kandungan. Saya akan membawa makanan, jika saya memancing,” kongsi Andrew.

Terdahulu, keluarga Andrew pernah menunjukkan rumah mereka di tengah-tengah hutan di Borneo.

Rumah itu direka bentuk dalam gaya rumah panggung dan diperbuat daripada kayu serta mempunyai halaman luas dan cantik.

Ibu Andrew juga pernah mendedahkan bahawa kedua-dua anaknya itu menerima pendidikan secara ‘homeschooling’ menerusi Skype. 


Sumber: [1]