Lengkap Bertanjak, Ayez Syaukat Tembus Hollywood

Tujuh tahun bergiat aktif sebagai ahli gusti profesional, nama Ayez Shaukat Fonseka ternyata akhirnya berjaya menangkap perhatian dunia selepas dilamar produksi Hollywood untuk membintangi program Reality of Wrestling.

lengkap bertanjak, ayez syaukat tembus hollywood

Kongsi Ayez, ia merupakan kali pertama dia mendapat tawaran seumpama itu dan bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh pihak luar untuk memegang peranan sebagai hero.

Tambahnya, program itu bakal disiarkan di saluran The CW sebanyak enam episod.

Lebih menarik, Ayez turut tampil dalam program tersebut lengkap berpakaian tanjak dan jaket songket yang ditempah daripada Paul Carling, pereka pakaian asal Sarawak yang berpengalaman menghasilkan busana Ratu Cantik di Borneo.

“Sebenarnya, saya menerima tawaran itu sejak dua tahun lalu namun terpaksa tangguhkan hasrat untuk ke sana memandangkan ada kekangan iaitu mendapatkan kelulusan visa disebabkan pandemik COVID-19.

“Sepanjang dua tahun juga saya membuat persediaan dengan membuat latihan kecergasan di gimnasium enam hari dalam seminggu bagi mendapatkan bentuk badan ideal.

“Selepas sekian lama menunggu, dapat juga saya bertolak ke Amerika Syarikat (AS) pada awal bulan ini dan berada di sana selama dua minggu bagi menjayakan rakaman yang diadakan di Stadium World Gym Arena di Texas, AS,” katanya kepada portal berita tempatan.

Bercerita mengenai pengalamannya di sana, pelakon telefilem Budak Lorong dan filem Juvana 2 serta Juvana 3 itu akui terharu kerana dilayan dengan baik oleh semua pihak yang terlibat dalam program tersebut.

Dia juga malahan diundang Dr Tom Prichard, jurulatih legenda WWE, The Rock untuk mengajar kelas seni lakonan di Knoxville, Tennessee, AS.

“Alhamdulillah, penerimaan terhadap saya amat baik termasuk daripada kanak-kanak teruja yang bersorak ketika datang mengikuti rakaman di lokasi penggambaran. Mungkin kerana mereka tertarik melihat penampilan saya yang memakai tanjak serta nampak lain daripada lain.

“Penerimaan positif itu membuatkan saya jadi bertambah teruja lebih-lebih lagi kerana pertama kali muncul di stesen televisyen Hollywood dan berjumpa dengan pelakon serta pengarah hebat di sana.

“Lebih membuatkan saya terharu apabila mereka mahu membantu mengusulkan nama saya untuk berlakon dalam siri lain,” katanya.


Sumber: [1]