Sering kali kita terdengar mengenai kisah menyentuh hati yang melibatkan kakitangan hospital bersama pesakit yang dirawat, namun tiada satu daripadanya pun yang tidak pernah berhasil mencuri hati ramai.
Baru-baru ini, seorang gadis kecil di Indonesia yang bernama Riska, mencuri perhatian ramai warganet kerana tidak mahu meninggalkan hospital setelah pulih daripada COVID-19. Ia gara-gara keakraban yang dijalinkan antaranya dengan salah seorang kakitangan hospital tempatnya dirawat.
Sepanjang menjalani kuarantin di hospital terbabit, Riska jarang sekali berasa kesunyian kerana pekerja kesihatan wanita yang dikenali sebagai Helmianti itu dikatakan sering menemani dan bermain dengannya tatkala punya masa terluang.
Menerusi muat naik Tik Tok di akaun @princessadell__, pekerja kesihatan wanita tersebut berkongsi momen keakraban mereka berdua yang dirakamkan dalam video.
Video tersebut memaparkan Riska yang memeluk kuat Helmianti dari belakang dan tidak mahu melepaskannya kerana enggan pulang ke rumah, biarpun telah sembuh. Ketika meninggalkan hospital tersebut pada akhirnya, Riska dikatakan sedih terhadap perpisahan mereka.
Kongsi Helmianti kepada satu media tempatan, Riska sering bermain di bilik jururawat, ada kalanya menunggunya habis kerja sebelum kedua-dua mereka bermain bersama.
Setelah perkara itu tular, ramai rupanya yang berkongsi bahawa Helmianti sebenarnya, sangat dikenali dengan sifat peramah sekali gus menjadikannya sebagai seorang pekerja kesihatan yang disukai orang ramai di hospital tempatnya bekerja.
Sumber: [1]