WHO Pertimbang Isytihar Cacar Monyet Sebagai Ancaman Global

Pakar cacar monyet menyarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia supaya mengklasifikasikan wabak itu sebagai ancaman kesihatan global.

who pertimbang isytihar cacar monyet sebagai ancaman global

Susulan bilangan kes yang semakin meningkat, mesyuarat kedua jawatankuasa kecemasan WHO berkenaan virus itu telah diadakan untuk mengkaji keadaan yang semakin teruk, dengan hampir 15,400 kes dilaporkan dari 71 negara, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS.

Lonjakan jangkitan cacar monyet itu mula dilaporkan sekitar awal Mei lalu di luar negara Barat dan Afrika Tengah yang mana penyakit itu sebenarnya telah pun menjadi endemik untuk satu tempoh lama.

“Saya memerlukan nasihat anda dalam menilai implikasi kesihatan awam jangka serta-merta dan jangka pertengahan,” kata Tedros Adhanom, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam mesyuarat yang berlangsung lebih dari enam jam itu.

Jika jawatankuasa menasihati Tedros bahawa wabak itu perlu diisytiharkan Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), ia akan mencadangkan cadangan sementara tentang cara mencegah dan mengurangkan penularan penyakit itu dengan lebih baik dan mengurus tindak balas kesihatan awam global.

Bagaimanapun, masih belum ada tarikh yang ditetapkan untuk jawatankuasa terbabit mencapai kesimpulan dan kata sepakat mereka bagi menangani wabak itu.

Sementara itu, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah berkata sehingga Isnin, sebanyak 7,896 kes yang disahkan adalah dari 27 negara di Kawasan Ekonomi Eropah.

Negara yang paling teruk terjejas ialah Sepanyol (2,835), Jerman (1,924), Perancis (912), Belanda (656) dan Portugal (515).

 

Sumber: [1]