Kenali Wanita Yang Berisiko Jika Hamil

Sudah menjadi impian buat semua wanita yang sudah mendirikan rumah tangga untuk mempunyai cahaya mata. 

Menurut Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Janin Ibu di Columbia Asia Hospital Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Vijayaletchumi berkata, penjagaan prakehamilan amat penting apabila seseorang wanita merancang untuk menimang zuriat.

Terdapat segelintir wanita yang mempunyai  masalah kesihatan yang tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan atau terpaksa mengambil ubat yang tidak sesuai di tahap awal kehamilan.

“Di Malaysia, masih ramai yang enggan berjumpa doktor, apatah lagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Ramai yang hanya akan ke hospital apabila benar-benar berasa tidak sihat atau memerlukan rawatan susulan.

“Sayangnya, sikap ‘endah tak endah’ ini boleh menyebabkan mereka tidak sedar akan keadaan kesihatan sebenar mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Vijayaletchumi menjelaskan saringan awal ini akan membantu pakar obstetrik menguruskan kehamilan serta mencadangkan ujian sesuai untuk ibu dan bayi.

“Setelah doktor membuat penilaian menyeluruh terhadap pasangan suami isteri, kami akan mencadangkan prosedur atau rawatan sesuai untuk sebarang masalah kesihatan yang dikesan.

“Biasanya, ini termasuk memeriksa paras hemoglobin dan gula, serta memeriksa jika salah seorang daripada ibu bapa mempunyai talasemia.

“Jika salah seorang atau kedua-duanya mempunyai talasemia, anak mereka juga berisiko menghidap penyakit itu,” ujarnya.

Selain itu, setiap pasangan juga disarankan untuk menjalani ujian penyakit kelamin (STD) sebagai langkah berjaga-jaga.

Di samping itu, masalah kesihatan seperti diabetes, tekanan darah tinggi, atau gangguan darah pada ibu boleh memberi kesan serius kepada bayi.

Diabetes khususnya boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi, meningkatkan risiko keguguran, kematian janin dan kecacatan struktur.

Oleh itu, penting untuk ibu-ibu mengawal paras gula sebelum hamil bagi mengurangkan risiko ini.

 

Sumber: Kosmo