Walau Bencana Banjir, Geng Si Bulu Tetap Tidak Disisih

“Mereka juga ahli keluarga kami,” ringkas namun itulah luahan hati ikhlas mangsa banjir dan individu lain yang sanggup menggagahi diri walaupun dalam keadaan bencana demi menyelamatkan kucing-kucing yang  turut sama terkesan.

walau bencana banjir, geng si bulu tetap tidak disisih

Bagi Alia Zulaikha Mahmud, 21, dan adiknya Nur Hazirah, 14, pengalaman menyelamatkan 11 ekor kucing mereka yang sebelum itu terpaksa ditinggalkan di rumah mereka di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor sememangnya adalah antara saat yang paling sukar dilupakan.

“Kami terpaksa meredah banjir separas pinggang untuk selamatkan 11 ekor kucing kami, namun hanya sembilan sahaja selamat, dua lagi mati dihempap almari yang terbalik akibat dilanda arus deras air bah,” katanya.

Cerita mereka lagi, pada ketika itu, paras air naik mendadak hingga mencapai tahap dada orang dewasa, justeru meninggalkan seluruh keluarga tersebut dengan tiada pilihan melainkan menyelamatkan diri mereka terlebih dahulu dan meninggalkan kesemua kucing peliharaan mereka di atas almari.

“Apabila banjir mulai surut tiga hari kemudian, kami minta bantuan bot daripada pihak bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menyelamatkan kucing dan harta benda yang lain,” kongsi Alia Zulaikha.

“Kami bersyukur kerana kesemua ahli keluarga termasuk kucing-kucing kami selamat. Mungkin bagi sesetengah orang kucing-kucing itu hanyalah haiwan, tetapi bagi kami, mereka sebahagian daripada keluarga kami,” tambahnya.

 

Sumber: [1]