Varian Omicron Kian Menular, WHO Jelaskan Kaedah 'Lockdown' Bukan Jalan Penyelasaian

Susulan varian baru COVID-19, Omicron yang terus meningkat sejak kebelakangan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengutarakan pendapat bahawa pelaksaan “total lockdown” atau perintah berkurung bukanlah satu penyelesaian bijak bagi mengekang penularannya.

varian omicron kian menular, who jelaskan kaedah 'lockdown' bukan jalan penyelasaian

Menurut Pengarah Serantau WHO, Dr Poonam Khetrapal Singh, perintah berkurung hanya merupakan salah satu daripada pelbagai kaedah yang boleh dipertimbangkan namun ia bukan satu-satunya jalan keluar kepada penularan varian baru itu.

“Ia boleh dijadikan sebagai pilihan terakhir kerana pelaksanaan “lockdown” sebelum ini terbukti melibatkan kos yang tinggi dan menyusahkan orang ramai.

“Justeru langkah-langkah kesihatan awam seperti pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan kadar vaksinasi perlu diberi tumpuan,” katanya.

Menyentuh mengenai sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan oleh kebanyakan negara, katanya, pelaksanaan tersebut tidak akan menghalang penularan merentasi negara, sebaliknya hanya akan menambah beban kepada kehidupan seharian dan mata pencarian orang ramai.

“Meskipun berkesan namun ia adalah langkah yang sangat mahal dan harus dilihat sebagai pilihan terakhir,” terangnya.

Dalam pada itu, Poonam turut menjangkakan bahawa dunia akan menyaksikan lonjakan kes berikutan kadar transmisi COVID-19 melibatkan varian baru ini adalah tinggi.

Bagaimanapun, jelasnya, adalah munasabah untuk mengandaikan bahawa vaksin yang sedia ada pada ketika ini berupaya memberi perlindungan dan mengelakkan kematian.

 

Sumber: [1]

ARTIKEL BERKAITAN