Betul Ke Trend Video Pendek Buat Kita Jadi Cepat Lupa?

Media sosial masa kini nampaknya mula beralih kepada perkhidmatan video pendek, dengan mengambil contoh kepada aplikasi Tiktok yang menjadi aplikasi paling banyak dimuat turun di seluruh dunia.

betul ke trend video pendek buat kita jadi cepat lupa?

Beberapa platform media lain kini turut menggunakan kaedah serupa seperti Reels, Youtube Shorts, Whatsapp Status, dan lain-lain lagi.

 

Ternyata video pendek dapat menarik ramai pengguna kerana ia dapat menyajikan kandungan yang ringkas, padat dan cepat kepada penonton.

 

Disebabkan itu, ramai antara kita termasuk kanak-kanak yang menghabiskan masa berjam-jam sehari untuk menonton video pendek di media sosial, khasnya Tiktok.

betul ke trend video pendek buat kita jadi cepat lupa?

Namun dari satu sudut, trend menonton video pendek dikatakan menjadi punca kepada mudah hilang fokus serta menyebabkan pelupa.

 

Perkara itu disuarakan seorang pengguna Facebook, Zulfikarullah Ren yang bimbang akan trend ini yang turut memberi kesan kepada dirinya.

 

Menurutnya, trend video pendek membuatkan kita mudah leka dan alpa apabila tidak sedar kita telah ketagih membuka aplikasi berkenaan berjam-jam lamanya untuk satu-satu masa. Misalnya, jika dahulu boleh membaca buku untuk tempoh lama, kini membaca dua tiga muka surat pun sudah terasa beratnya.

 

“Video pendek je, tetapi terkadang berjam-jam kita duk skrol tengok. Terkadang tu video takde faedah langsung. Buang masa begitu je.

“Video tu tak salah sebenarnya, yang salah adalah diri kita sendiri yang gagal urus tadbir penggunaan media sosial dengan baik. Teknologi tak salah. Diri sendiri yang salah.

“Sebab banyak je kebaikan melalui perkembangan teknologi media sosial ni sebenarnya,” ujarnya.

 

Jika sebelum ini menonton filem durasi lebih dua jam adalah satu kebiasaan, kini manusia menjadi cepat bosan dan akan mempercepatkan filem itu untuk menghabiskan cerita. Malah, kesan itu turut mempengaruhi fokus dalam bekerja.

 

Tabiat menonton video pendek juga membuatkan seseorang itu menjadi mudah cepat bosan dan berputus asa dengan sesuatu perkara sama ada secara sedar mahupun sebaliknya.

 

Jika ia tidak terkawal, besar kemungkinan ia dapat memberikan kesan negatif khasnya kepada golongan kanak-kanak.

 

Sumber: Facebook, ODISI