Filem Malaysia, Sumpahan Jerunei Tarik Perhatian Pembeli Antarabangsa Di Cannes

Sebuah filem seram terbitan Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd, Sumpahan Jerunei atau Curse of the Jerunei, telah menarik minat beberapa bakal pembeli antarabangsa di Marche Du Film 2022, salah satu pasaran filem terbesar di dunia.

filem malaysia, sumpahan jerunei tarik perhatian pembeli antarabangsa di cannes

Pengarah Eksekutifnya, Datin Dr Wendy Wong berkata setakat ini enam pembeli dari Amerika Syarikat dan seorang pembeli dari United Kingdom telah menunjukkan minat untuk membeli filem arahan Jason Chong itu.

“Filem ini menerima tawaran daripada banyak pengedar atau ejen. Buat sementara ini kita tengah fikir mana satu pilihan yang terbaik sekali. Ini kerana kami kena pilih satu pembeli sahaja.

“Kita punya kriteria jangan pembeli ambil ‘worldwide right’ kerana ramai ejen nak ambil worldwide right, kalau ambil worldwide right kita tak dapat kawal dan kita tak nak hilang pegangan Asia itu. Sekarang kita sedang dalam dilema sebab tiga pembeli yang disenarai pendek ada keistimewaan sendiri,” katanya kepada wartawan Malaysia di Cannes.

Sumpahan Jerunei menampilkan barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Syafie Naswip, Amerul Affendi, Tony Eusoff, Uqasha Senrose dan Ruminah Sidek.

Ia mengisahkan sejarah kaum Melanau di Sarawak termasuk upacara pengebumian dan budaya masyarakat negeri itu.

Sementara itu, seorang lagi pengarah eksekutif syarikat tersebut, Datuk Nancie Foo berkata filem tersebut berjaya menarik perhatian pembeli antarabangsa kerana ia memaparkan kisah benar selain faktor unsur seram membabitkan budaya yang terdapat dalam filem itu.

“Memang pembeli asing suka sangat, mereka suka tajuk asli dan budaya. Dalam filem ini memang semua adalah asli. Lokasi pun memang lokasi asal. Bila mereka (pembeli) dah dapat tiga perkara ini, mereka sudah tertarik” katanya.

 

Sumber: [1]