Dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19, banyak usaha kini sedang dilakukan ramai pihak, antaranya proses nyah infeksi.
Jika dahulu proses nyah infeksi hanya dilakukan oleh pihak tertentu, kini ia boleh dibuat dengan mudah oleh semua orang dengan alat canggih yang disebut sebagai ‘spray gun’.
Alat spray gun ini datang dengan saiz kecil dan dipasang dengan sebotol cecair pembasmi kuman atau sanitizer dan disembur pada tempat-tempat tertentu dalam rumah mahupun kenderaan.
Meskipun ia membantu pencegahan COVID-19, namun sejauh manakah keberkesanan spray gun ini? Adakah ia selamat untuk digunakan khasnya di rumah?
Persoalan ini mendapat perhatian Dr Izzar Anwari yang jelas tidak menggalakkan penggunaan spray gun terutamanya dirumah kerana ia mempunyai risiko keselamatan yang perlu diambil kira oleh pengguna. Berikut adalah penerangan beliau mengenai spray gun:
Sekarang ini, banyak jualan pada produk 'spray gun' untuk nyah infeksi (disinfection) permukaan-permukaan di rumah. Di pasaran ada banyak jenis alat semburan ini bergantung pada harga.
Antaranya 'electrostatic sprayer', 'fogger', 'misters', atau 'vaporizer'.
Alat ini berfungsi dengan menukar cecair kimia disinfeksi ke bentuk aerosol, lalu ia juga akan berada lama di ruang udara terutamanya jika kawasan itu tidak mempunyai sistem pengalihan udara yang bagus.
Bahan kimia dalam bentuk aerosol ini boleh memudaratkan kulit, mata atau pernafasan kita.
Penggunaan produk ini tidak dihalang untuk digunakan, digalakkan atau tidak digalakkan namun, apa yang boleh dikatakan, jika ia digunakan hendaklah sangat berhati-hati.
Jika 'electrostatic sprayer' atau 'fogger digunakan :
1. Perlu digunakan oleh orang yang terlatih
2. Menggunakan bahan kimia yang diluluskan
3. Mengikut arahan pengeluar (keselamatan, penggunaan, masa penggunaan)
4. Memakai PPE yang cukup untuk melindungi keselamatan pengendali, orang di sekeliling, dan pengguna bilik selepas itu.
5. Guna dengan sangat berhati-hati jika di kawasan penyediaan makanan atau tempat anak-anak bermain.
Kena tahu dan fahami risiko :
a. Pendedahan kepada bahan kimia nyah disinfeksi dalam bentuk aerosol boleh memudaratkan kulit, mata, dan pernafasan
b. Risiko mudarat adalah lebih besar jika digunakan di kawasan penyediaan makanan, atau tempat anak-anak bermain.
c. Setiap alat berbeza mempunyai cara penggunaan dan risiko keselamatan berbeza. Biar orang terlatih yang lakukannya.
Dalam kebanyakan keadaan, mencuci permukaan dengan sabun sudah cukup untuk mengurangkan COVID-19.
Lepas itu kalau mahu lebih sikit, lakukan disinfeksi dengan kaedah biasa seperti lap dengan cecair, tisu basah atau botol semburan disinfeksi sudah memadai. Memang tidak canggih atau 'cool' seperti 'spray gun', tetapi penggunaannya lebih selamat.
Jadi, bagi saya untuk penggunaan di rumah, tidak perlu 'spray gun'. Risiko juga tinggi kalau diguna dengan cara salah.
Sumber asal: Dr Izzar Anwari
* Artikel asal disiarkan di Mingguan Wanita.
Rujukan: Astro AWANI