Di Korea Utara, Roti Ialah Simbol Kekayaan

Di mana simbol status kekayaan di sesetengah negara merupakan material mahal, lain pula di Korea Utara. Ini kerana, simbol status kekayaan di negara itu bukanlah beg tangan baru atau jam tangan mewah, tetapi sebuku roti.

di korea utara, roti ialah simbol kekayaan

Menurut Radio Free Asia (RFA), harga tepung di negara itu telah menjadi begitu mahal sehinggakan roti menjadi sinonim dengan kekayaan.

Harga tepung di negara tertutup itu kini dilaporkan naik tiga kali ganda lebih mahal daripada beras, yang selama ini dianggap sebagai bahan makanan mewah dan dikhususkan untuk rakyat Korea Utara paling kaya di setiap kedai.

Kebanyakan orang Korea Utara terutamanya akan membeli jagung dan bijirin kasar lain, tambah RFA.

“Apabila harga tepung lebih daripada dua tiga kali ganda harga beras, seperti sekarang, roti dan ladu mandu tiba-tiba menjadi makanan yang hanya mampu dimakan oleh pegawai tinggi dan orang kaya-raya. Jadi makanan yang dibuat dengan tepung kini adalah simbol kekayaan,” kata sumber kepada RFA.

Menurut RFA, tepung di Korea Utara berharga sekitar 4,000 (RM13.51) hingga 4,6000 won (RM15.54)  sekilogram pada 2019.

Namun, selepas wabak COVID-19 melanda, harganya melonjak sehingga 30,000 won (RM101.34) sekilogram.

Outlet itu turut melaporkan bahawa harga semasa adalah kira-kira 18,000 won (RM60.81) sekilogram.

Harga tepung di Korea Utara meningkat selepas negara itu menghentikan import apabila ia menutup sempadannya pada permulaan wabak COVID-19 pada 2020, lapor RFA.

Walaupun sempadan negara itu dibuka semula sebentar tahun ini, ia bagaimanapun segera ditutup semula berikutan wabak COVID-19 yang meletus sekali lagi di negara jiran, China.

Menurut data Agensi Perisikan Pusat (CIA), Korea Utara menghadapi kekurangan makanan yang dianggarkan 860,000 tan, iaitu kira-kira dua hingga tiga bulan penggunaan makanan.


Sumber: [1]