Jika sebelum ini Astro Originals telah mencetuskan fenomena dalam beberapa drama bersiri dengan pelbagai genre, kali ini ia tampil mempertaruhkan sebuah lagi siri berjudul JACK YUSOF.
Drama bersiri komedi yang sarat dengan gelagat lucu dan mencuit hati, dari pengarah drama kegemaran keluarga Malaysia iaitu ‘I-Tanggang’, ‘Keluarga Iskandar’ dan ‘Kampung People’, iaitu Wan Hasliza Wan Zainuddin ini bakal menemui penonton Astro Originals bermula 17 Jun.
Jack Yusof menyaksikan kemunculan semula Datuk Rosyam Nor sebagai watak utama menerusi drama bersiri selepas lebih 10 tahun.
Datuk Rosyam membawakan watak komedi sebagai Jack Yusof iaitu seorang aktor senior yang popular, namun masih kelihatan muda kerana kerap menggunakan suntikan botox.
Walaupun hidup dalam kemewahan dan digilai ramai, tetapi Jack banyak melakukan kesilapan dalam kehidupan peribadinya, termasuklah meninggalkan anak perempuannya, Aida ketika masih bayi. Selepas beberapa tahun, Aida tiba-tiba muncul menghubungi Jack dengan satu tujuan.
Selain Rosyam, siri ini juga dibintangi Sharifah Husna, Raja Ema, Rashidi Ishak, Hafiz Halim, Fadlan Hazim, Adriana Adnan, Loganathan Kanabathy, Syed Muhammad Baqir, Uncle Samsuri dan tidak ketinggalan penampilan istimewa oleh Che Puan Sarimah Ibrahim, Raja Azura, Zain Hamid, Angeline Tan, Zarina Anjoulie, Steve Yap, Taufik Hanafi, Dian Fernandez, Maca (Marsya), Haidar Hasanuddin dan Amy Nur Tinie.
Drama 8 episod ini akan mula menemui penonton di platform On Demand dan Astro GO bermula 17 Jun, setiap Sabtu jam 12 tengah malam dan di Astro RIA saluran 104 bermula 26 Jun, setiap Isnin, jam 9.00 malam.
Astro Originals sebelum ini telah menampilkan deretan drama siri premium daripada pelbagai genre dan nilai hiburan berbeza serta olahan jalan cerita segar yang diinspirasikan dari pendedahan isu-isu yang berlaku di kalangan masyarakat seperti ‘Kampong Pisang Bersiri-Siri’ (francais filem komedi nombor 1 negara), ‘Projek: Anchor SPM’ (memperkenalkan genre coming-of-age), ‘I-Tanggang’ (isu realiti penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy), ‘Dukun Diva’ (kisah female con artist), ‘Kuasa’ (fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan), ‘Histeria The Series’ (kesinambungan filem box office 2008, Histeria), Murder By Moon Light (genre Witty Murder Mystery “Whodunnit”), One Cent Thief (naskhah ‘heist’ Malaysia menerusi rompakan 1 sen), High Council (pembongkaran kegiatan gengsterisme sekolah yang pernah menggemparkan negara) dan LIAR (drama adaptasi antarabangsa daripada calon siri thriller terbaik di Bafta Awards).