Diadaptasi daripada rancangan realiti Korea Selatan, Astro kini menyahut cabaran selebriti-selebriti di Malaysia dengan pelbagai aksi paling sukar menerusi rancangan realiti adaptasi terbaharunya, ‘Real Men Malaysia: Wira Merah’.
Namun berbeza dengan format asalnya daripada Korea, edisi Malaysia kali ini bakal mempersembahkan sisi-sisi latihan padu dan padat dalam mengenali latar belakang sebagai seorang ahli Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Menampilkan lapan selebriti (6 lelaki dan 2 perempuan) dari latar belakang yang berbeza di mana mereka akan mengalami kehidupan dan latihan sebagai seorang rekrut baharu dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, para penonton bakal melihat sisi-sisi baharu selebriti kegemaran mereka dalam rancangan ini.
Menerusi lensa ‘Real Men Malaysia: Wira Merah’, para penonton berkesempatan untuk melihat kehidupan serta persiapan anggota-anggota bomba yang turut akan dijalani kelapan-lapan selebriti terpilih.
Lapan selebriti yang terbabit dalam rancangan realiti ini adalah atlet negara speed climbing Mat Redho, pempengaruh media sosial Arieff Yong, pelawak Shashic, model Eric Lay, hos Daniel Cheang dan Hawa Rizwana serta pelakon Wafiy dan Jasmine Suraya.
Penggambaran rancangan ini dilakukan sepenuhnya di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu untuk menunjukkan kehidupan sebenar ahli bomba dan penyelamat Malaysia menerusi paparan barisan selebriti yang dipilih. Terdapat lapan episod, setiap episod menunjukkan realiti emosi dan cabaran yang perlu diharungi oleh pasukan bomba Malaysia termasuk tatacara memakai pakaian operasi, membentang dan menggulung hos, teknik penyelamatan di bangunan yang runtuh, teknik pemadaman kebakaran dan selainnya.
‘Real Men Malaysia: Wira Merah’ akan ditayangkan pada setiap hari Ahad bermula 30 Julai, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104). Untuk pilihan lebih fleksibel, ia turut boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.