Kuala Lumpur Sentral, juga dikenali sebagai KL Sentral ialah sebuah kawasan pembangunan transit yang menempatkan stesen kereta api utama Kuala Lumpur.
Mula dibuka pada 16 April 2001, KL Sentral mengambil alih peranan Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan merupakan stesen kereta api terbesar di Asia Tenggara.
Ketika sebahagian besar pengguna menjadikan Stesen KL Sentral sebagai lokasi utama pengangkutan apabila mahu ke Kuala Lumpur, ramai rupanya yang tidak tahu kewujudan Medan Selera KL Sentral yang terletak di aras 3 ini.
Medan Selera KL Sentral atau disebut juga sebagai ‘Foodcourt KL Sentral’ ini mempunyai pelbagai pilihan hidangan untuk pengguna di sini. Antaranya seperti Nasi Kandar, Nasi Arab, Grill, Masakan Thai dan Teh Masala yang agak popular dalam kalangan mereka yang tahu akan kewujudan food court ini.
Namun menerusi hantaran X @zamrimohamad, foodcourt KL Sentral ini rupanya telah ditutup kerana menurutnya kurang sambutan daripada orang ramai.
“Tempat saya memesan segelas teh masala di KL Sentral ditamatkan operasinya. Medan Selera KL Sentral ditutup. Bak kata salah seorang peniaga di sini, "Khalayak tak ramai ke sini." Berada di tingkat atas jauh dari peniaga lain menjadi satu cabaran untuk orang mengingati,” tulis beliau di X.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang tidak tahu akan kewujudan foodcourt KL Sentral ini meskipun sering menggunakan perkhidmatan disitu, dan tak kurang ada juga yang bersedih dengan penutupan foodcourt yang pernah menjadi memori buat mereka sebelum ini.
Menerusi laman Facebook Sentral Food Court, foodcourt itu telah ditutup operasinya bermula 1 Mac lalu dan pihaknya berterima kasih kepada sokongan ramai sepanjang perkhidmatan mereka selama ini.
Sumber: X @zamrimohamad / Facebook