Malang tidak berbau, satu tragedi menyebabkan kereta mewah seperti Audi, Lamborghini dan Porsche yang ditinggalkan di atas kapal kargo terbakar dalam perjalanan dari Jerman ke Amerika Syarikat.
Kapal kargo yang dikenali sebagai Felicity Ace sedang berada dalam perjalanan dari Emden, Jerman apabila anak kapalnya mengumumkan kebakaran tersebut pada Rabu lalu.
22 anak kapalnya berjaya diselamatkan, tetapi kapal dan kargo berharganya terus terbakar, walaupun anggota bomba berusaha keras untuk membendung dan berharap dapat memadamkannya.
Kapal kargo itu dilaporkan membawa kira-kira 4,000 kenderaan termasuk Porsche, Audi dan 189 Bentley yang mana sebahagiannya dilengkapi bateri litium.
Selepas anak kapal diselamatkan di luar pantai kepulauan Azores Portugal, anggota bomba Portugis difahamkan telah bergelut untuk mengawal api tanpa benar-benar menaiki kapal kargo, kerana ia dianggap terlalu berbahaya.
“Operasi perlu dilakukan dengan sangat perlahan,” kata João Mendes Cabeças, kapten pelabuhan terdekat di pulau Azorean Faial, kepada Reuters, justeru memakan sedikit masa.
Walaupun kedengaran paradoks, memadamkan api di tengah lautan adalah sangat sukar, terutamanya dalam keadaan sebegitu yang mana penggunaan air hanya akan menambah berat tambahan sekaligus menjadikan kapal tersebut tidak stabil.
Namun pada masa sama, pemadam air tradisional juga tidak dapat menghentikan bateri lithium-ion daripada terbakar, membuatkan anggota bomba hanya boleh menangani kebakaran itu dari luar dengan cara menyejukkan struktur kapal.
Menurut kapten Cabeças, semuanya terbakar kira-kira lima meter di atas garis air kapal, tetapi ia terus merebak lebih jauh ke bawah, dan ia semakin hampir dengan tangki bahan api kapal kargo.
Pemilik Felicity Ace telah melaporkan rancangan untuk menunda kapal yang terbakar itu ke pelabuhan Eropah atau ke Bahamas, tetapi tidak jelas bila ia akan berlaku.
Sumber: [1]