Burung albatros adalah spesis burung yang ditemukan secara luas di Lautan Antartika dan Pasifik Utara. Ia merupakan burung yang tinggal dalam koloni, memiliki kebiasaan membuat sarang di pulau terpencil dan sangat setia pada pasangannya seumur hidup.
Bagaimanapun, satu kajian terbaru mendapati perubahan iklim telah menjadi penyebab kepada penceraian dalam kalangan burung yang setia ini.
Kajian dilakukan dengan mengkaji kira-kira 15,500 pasangan burung albatros di Kepulauan Falkland dalam tempoh 15 tahun.
Data menunjukkan, berlaku peningkatan perpisahan spesis burung itu dengan pasangannya, daripada 1 peratus kepada 8 peratus dalam persekitaran yang mempunyai suhu lebih panas.
Pengkaji mempunyai dua teori hasil daripada kajian yang dibuat iaitu hubungan jarak jauh dan hormon tekanan akibat suhu air menjadi panas.
“Hal ini kerana suhu air yang lebih panas telah memaksa burung albatros untuk memburu lebih lama dan jauh. Apabila ia pulang pada musim mengawan, pasangannya mungkin telah ‘curang’ dengan pasangan baharu,” jelas penyelidik di Universiti Lisbon dan penulis bersama kajian tersebut, Francesco Ventura.
“Dengan situasi pembiakan yang lebih sukar dan kesukaran mencari makanan, ia akan menambah lagi tekanan pada burung albatros.
“Ini telah menyebabkan ia dipersalahkan atas ‘prestasi teruk’ dalam hubungan, sekali gus menyebabkan perpisahan,” katanya lagi dalam jurnal Royal Society.
Sumber: [1]