“Saya rasa pasukan ini akan mencabar untuk semua kejuaraan pada masa akan datang”. Itu kata-kata Sergio Kun Aguero ketika menyertai Manchester City pada 2011. City mendapatkan Aguero yang berusia 23 tahun ketika itu dengan yuran perpindahan dikatakan sekitar 38 juta pound. Sedekad kemudian, penyerang kelahiran Argentina ini telah meraih 5 gelaran liga dan satu kejuraan Piala FA.
Aguero juga bantu City menjulang trofi Piala EFL sebanyak 6 kali. Tahun ini, City menjuarai kejohanan itu untuk 4 kali berturut-turut menyamai rekod Liverpool. Ia juga merupakan kali ke-8 City memenangi kejohanan berkenaan juga menyamai rekod Liverpool.
Mac lalu, Aguero membuat pengumuman tergempar. Dia akan tinggalkan Etihad sebaik kontraknya bersama City tamat hujung musim ini. Menurut laporan, City enggan tawarkan kontrak baru kepada penyerang itu. Pada aksi terakhir EPL City musim ini, Aguero membuktikan bahawa dia masih miliki ketajaman di depan gol.
Dimasukkan pada minit ke-65, Aguero tidak perlu menunggu lama untuk mencetak nama sebagai penjaring. Pada minit ke-71, dia menjaringkan gol pertamanya dan menambah satu lagi jaringan 5 minit kemudian. Manchester City berjaya membelasah Everton 5-0 pada perlawanan tersebut.
Lebih manis buat Aguero, kedua-dua gol tersebut menjadikannya sebagai pemain yang menjaringkan gol EPL terbanyak untuk satu-satu kelab dengan 184 gol! Dia mengatasi rekod legenda Manchester United, Wayne Rooney dengan 1 gol.
Sepanjang bersama City, Aguero telah buat 389 penampilan dalam semua kejohanan dan telah jaringkan 260 gol. Sebaik tamat perlawanan dengan Everton, Pep Guardiola tidak dapat menahan sebak kerana Aguero tidak lagi akan bersama City. Pengurus City itu sifatkan Aguero sebagai individu dan pemain istimewa yang tidak mampu diganti. Aguero sudah pasti akan diiktiraf sebagai legenda City sama seperti Vincent Kompany dan David Silva yang merupakan tonggak pasukan itu dalam meraih pelbagai kejuaraan sejak sedekad lalu.
Kalau berbicara tentang Aguero, sudah pasti kita perlu sentuh ‘gol itu’ pada waktu kecederaan ketika berdepan QPR pada 2012. Kedudukan pada waktu itu terikat 2-2 dan pada minit ke-93, Aguero menjaringkan gol kemenangan sekaligus menghadiahkan gelaran EPL pertama untuk City.
Namun, cerita Aguero dengan City masih belum tamat sepenuhnya. Masih ada halaman terakhir yang perlu dicoret dalam diarinya bersama City. Kita semua tahu City masih belum pernah memenangi saingan Liga Juara-Juara. Pep Guardiola dan anak buahnya mampu mengubah semua itu Ahad ini apabila berdepan Chelsea pada aksi final. Ia merupakan aksi final pertama City dalam kejohanan itu. Adakah Aguero sekali lagi akan menjadi watak penting pada aksi tersebut? Mampukah dia ulangi gol dramatiknya pada 2012? Jika dia mampu berbuat demikian, sudah pasti ia akan menjadi hadiah perpisahan terbaik buat Aguero.
Oleh: Karami Kamel