Seorang bekas pemain bola sepak yang pernah bermain untuk kelab ternama Jerman, Schalke, berhadapan dengan perbicaraan mahkamah dan mungkin dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan memalsukan kematian sendiri untuk mendapatkan wang insurans.
Hiannick Kamba, 35, ialah seorang lelaki kelahiran Congo yang telah memulakan karier bola sepaknya bersama Schalke dari peringkat junior.
Kariernya sering mengalami masalah, justeru menyebabkan dia kemudian bergabung dengan beberapa kelab bawahan sehingga dia akhirnya menutup karier di VfB Huls pada 2016 dengan kisah tragik.
Pada ketika itu, Kamba dilaporkan telah meninggal dunia dalam satu kemalangan kereta yang tragis di negara asalnya.
Berita tersebut mengejutkan dunia bola sepak yang mana ramai penyokong berserta pemain lain menzahirkan ucapan takziah dan perasaan duka mereka terhadap ‘pemergiannya’.
Namun, empat tahun kemudian, pada 2020, Hiannick Kamba tiba-tiba muncul kembali dalam keadaan sihat yang mana dia dilaporkan bekerja sebagai juruteknik kimia di sebuah syarikat yang juga pernah mengambilnya kerja pada 2013.
Siasatan kemudian segera dijalankan terutamanya selepas terdapat tuduhan berkenaan penipuan insurans.
Kematian Hiannick Kamba pada 2016 mengakibatkan pengeluaran wang insurans nyawa sejumlah RM 5,694,499 yang dituntut Christina, iaitu bekas isteri ‘si mati’.
Memetik beberapa sumber seperti Bild, SportBible dan The Sun, proses pengadilan kini sedang berjalan melibatkan Hiannick Kamba dan Christine termasuk pihak-pihak lain yang terlibat.
Kamba dan keluarganya disyaki bersekongkol bagi memalsukan kematiannya untuk mendapat wang insurans tersebut.
Pihak Kamba bagaimanapun membidas dakwaan tersebut dengan mengatakan dia diculik ketika berita mengenai kematiannya muncul.
Sementara itu, pihak Christine pula mendakwa bahawa mereka tidak tahu Kamba sebenarnya masih hidup pada 2016 dan wang insurans yang dituntut itu belum digunakan serta telah disita sejak kes tersebut diadili.
Sekiranya didapati bersalah atas tuduhan terbabit, Kamba boleh dipenjarakan hingga 10 tahun.
Sumber: [1]