Baru-baru ini, kira-kira lebih 100 burung nasar hitam ditemui mati dipercayai akibat selesema burung di Sussex County, New Jersey, Amerika Syarikat.
Penemuan itu telah mencetuskan kebimbangan tentang virus yang dikenali sebagai selesema burung serta ancaman yang mungkin ditimbulkannya kepada manusia.
Menurut Dr Ed Lifshitz, Pengarah Perubatan (Perkhidmatan Penyakit Berjangkit) di Jabatan Kesihatan New Jersey, ia adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh orang ramai.
Beliau berkata selesema burung biasanya tidak berjangkit dengan mudah kepada manusia. Namun, virus selesema kerap bermutasi.
“Jika ia berubah cukup sehingga orang tidak benar-benar mempunyai apa-apa imuniti terhadapnya dan ia berubah dengan cara yang lebih mengancam kepada orang, ia boleh menyebabkan wabak yang membawa maut.”
Tambah beliau, Jabatan Kesihatan kini sedang memantau selesema burung dengan rapat.
“Kebimbangannya adalah ia mungkin boleh terus bermutasi dengan cara yang lebih mudah merebak kepada orang ramai, dan mungkin lebih serius jika begitu,” kata Lifshitz.
Dalam pada itu, Lifshitz turut menjelaskan selesema burung sememangnya menimbulkan risiko besar kepada burung, termasuk ayam.
Tetapi, orang ramai tidak berhadapan sebarang risiko daripada memakan daging tersebut yang telah dimasak.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan sekiranya terserempak dengan burung yang cedera atau mati, orang ramai disarankan untuk tidak mengambil dan menyentuhnya dengan tangan kosong kerana mereka berpotensi untuk dijangkiti wabak tersebut.
Lifshitz mencadangkan individu yang perlu menguruskan burung yang tercedera atau bangkainya itu supaya memakai sarung tangan serta mencuci tangan dengan penuh hati-hati selepas itu.
Sumber: New Jersey 101.5