Orang Ramai Yang Belum Peroleh Sijil Digital MySejahtera Sah Guna Kad Fizikal Buat Sementara

Kad peringatan vaksin (VRC) yang diterima orang ramai dari Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebaik lengkap dua dos vaksin adalah sah sementara MySejahtera menyelesaikan isu kemas kini sijil digital vaksin COVID-19.

orang ramai yang belum peroleh sijil digital mysejahtera sah guna kad fizikal buat sementara

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pharmaniaga, penerima vaksin Sinovac yang telah selesai dua dos vaksin namun masih belum mendapat sijil digital akan turut menikmati keistimewaan sama dalam penggunaan kad vaksin itu.

Tambah mereka, kad tersebut merupakan prasyarat bagi proses pendaftaran vaksin yang ditetapkan Badan Pengawas Farmaseutikal Nasional (NPRA).

“Penggunaan VRC diwajibkan oleh Jawatankuasa Khas Penyediaan Vaksin COVID19 (JKJAV) semasa proses vaksinasi kerana mengandungi maklumat penting seperti tarikh vaksinasi dan vaksin yang diterima,” lanjutnya.

Terdahulu, JKJAV pernah membuat pengumuman pada 23 Julai berkenaan individu yang belum memperoleh sijil digital dalam aplikasi MySejahtera boleh menggunakan VRC sebagai bukti penuh status vaksinasi sehingga pasukan MySejahtera menyelesaikan isu tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga telah mengarahkan pasukan MySejahtera untuk menyelesaikan kesemua masalah berkaitan kemas kini sijil digital dalam tempoh seminggu.

Pharmaniaga mengingatkan buat mereka yang tidak memiliki telefon pintar, baik mereka yang tidak begitu mahir secara teknikal atau mendiami kawasan terpencil, adalah penting untuk mereka menjaga kad vaksinasi fizikal masing-masing dengan selamat.

Ia berikutan, kad tersebut merupakan satu-satunya bukti yang mereka telah selamat menerima dua dos.

 

Sumber: [1]