Meteorit Ditemui Di Sahara Dikatakan Berusia Lebih Tua Daripada Bumi!

Sebuah meteorit yang mendarat di Gurun Sahara didapati berusia lebih tua daripada Bumi sendiri.

meteorit ditemui di sahara dikatakan berusia lebih tua daripada bumi!

Menurut pakar penyelidik, meteorit yang mendarat di padang pasir pada 2020 itu berusia 4.56 bilion tahun manakala Bumi pula berusia sekitar 4.54 bilion tahun!

Ujar seorang penyelidik dari University of Western Brittany di Perancis, Jean-Alix Barrat, beliau telah berusaha mengkaji mengenai meteorit selama lebih daripada 20 tahun, namun meteorit terbabit merupakan yang terhebat yang pernah dilihatnya.

Lanjutnya lagi, satu penyelidikan yang lebih mendalam mengenai meteorit tersebut bakal dijalankan untuk membantu para saintis memahami bagaimana planet di sistem suria terbentuk lebih awal berbanding dengan Bumi sendiri.

Dalam pada itu, meteorit tersebut diberi nama Erg Chech 002 (EC 002) sempena penemuannya di sekitar kawasan Algeria itu.

Menurut para penyelidik, kebiasaannya, sebilangan besar meteorit yang ditemui di Bumi dibuat daripada batu gunung berapi jenis basult.

Namun, menerusi penemuan EC 002, mereka mengesahkan bahawa ia sama sekali tidak mempunyai sebarang persamaan dengan kesemua asteroid yang pernah ditemui terdahulu sekali gus menjadikannya penemuan yang berharga.

Selain itu, para penyelidik turut menganggarkan meteorit terbabit merupakan sebahagian daripada protoplanet kuno, iaitu sebuah badan besar yang mengorbit matahari dalam proses berkembang menjadi planet.

Menerusi penemuan yang dianggap sebagai ‘rare’ ini, ia juga menunjukkan bahawa hampir semua protoplanet yang wujud akhirnya terbentuk menjadi planet atau musnah.

 

Sumber: [1]