Malaysia Belum Sedia Longgar Pemakaian Face Mask Walau Sudah Divaksin

Malaysia dilihat masih belum bersedia untuk melaksanakan kelonggaran pemakaian face mask bagi mereka yang sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

malaysia belum sedia longgar pemakaian face mask walau sudah divaksin

Memetik laporan dari Astro AWANI, pakar perubatan kesihatan awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, bilangan individu yang sudah divaksin di negara ini jauh lebih ketinggalan dan lebih rendah, jika hendak dibandingkan dengan negara Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah lain.

 

Ia selepas Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengumumkan bahawa rakyat negara itu yang telah menerima dos penuh vaksin COVID-19 tidak lagi perlu memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah.

 

“Kita tidak sampai 5 peratus daripada penduduk kita yang mendapat vaksin berkenaan. Apa yang diumumkan kerajaan AS mungkin tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.

“Jika kelonggaran pemakaian pelitup muka diberi ketika ini, ia akan menimbulkan pelbagai masalah dari segi pelaksanaan penguatkuasaan kerana kita khuatir ada dalam kalangan masyarakat yang belum menerima suntikan vaksin yang mengambil kesempatan untuk tidak memakai pelitup muka,” katanya.

 

Menurutnya lagi, bilangan kes positif jangkitan COVID-19 yang meningkat dengan mendadak kebelakangan ini juga antara faktor yang perlu dilihat. Misalnya, tingkah laku masyarakat yang tidak mengamalkan SOP boleh menyebabkan bilangan kes semakin bertambah jika pemakaian pelitup muka dilonggarkan.

 

Sumber: Astro AWANI