Rawatan tanam atau tambah rambut adalah sejenis prosedur yang akan dijalankan untuk mengembalikan rambut pada kawasan kulit kepala. Ia biasa dibuat oleh mereka yang mengalami masalah keguguran, kebotakan atau penipisan rambut untuk nampak normal.
Secara umumnya, terdapat 3 jenis prosedur utama daripada rawatan ini iaitu meluaskan atau mengecilkan jaringan kulit kepala, dan juga menanam rambut asli atau sintetik.
Semua orang boleh melakukan prosedur rawatan menanam rambut, tanpa mengira usia atau jantina namun ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan terlebih dahulu iaitu:
- Jumlah rambut yang sihat di kulit kepala
- Jumlah rambut tidak sihat di kulit kepala
- Kemampuan menumbuhkan rambut di kulit kepala
- Kawasan kulit kepala yang perlukan rawatan
Biasanya rawatan implan rambut mengambil masa 4 hingga 8 jam, bergantung kepada tahap keterukan masalah rambut seseorang. Semakin banyak jumlah rambut akan ditanam, semakin lama prosedur ini akan berlangsung.
Sebelum rambut dapat tumbuh dengan baik, seseorang itu mungkin perlu menunggu 6 hingga 9 bulan untuk melihat hasilnya. Ada kemungkinan juga rambut yang baru ditanam itu boleh tercabut atau tertanggal dengan sendiri, dan akhirnya merumitkan lagi usaha untuk mengembalikan rambut yang hilang.
Menurut portal Hello Doktor, terdapat beberapa kesan sampingan akibat daripada rawatan menanam rambut ini iaitu:
1. Mengalami kegatalan dan kebengkakan kulit serta kesukaran menelan makanan disebabkan kesan ubat bius.
2. Semasa prosedur tanam rambut, anda mungkin akan mengalami kondisi takikardia atau degup jantung terlalu laju namun ia hanya bersifat sementara dan boleh dirawat. Selepas prosedur implan rambut, anda juga boleh mengalami kondisi folikulitis atau infeksi akibat luka tanaman atau jahitan pada kulit kepala yang menerima rawatan.
3. Rambut mungkin nampak tidak semulajadi disebabkan graf penempatan atau penanaman rambut yang tidak tepat.
Sebelum anda mahu meneruskan rawatan menanam rambut, sila dapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor yang pakar.
Sumber: Hello Doktor