​​Kemunculan Semula BIGBANG Tahun Ini Mungkin Yang Terakhir - T.O.P

Anggota kumpulan masyhur K-Pop, iaitu T.O.P BIGBANG mengaku bahawa dia tidak pasti sekiranya perjalanannya bersama kumpulan tersebut akan berterusan.

​​kemunculan semula bigbang tahun ini mungkin yang terakhir - t.o.p

Menerusi temu bual bersama majalah Prestige baru-baru ini, T.O.P berkata dia sentiasa berbangga menjadi anggota BIGBANG.

Namun, akuinya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tambah lagi dengan kumpulan tersebut yang telah memasuki tahun ke-16 mereka dalam arena muzik, membuatkan dia menjadi tertanya-tanya sekiranya ia adalah pengakhiran buat mereka sebagai sebuah kumpulan.

Menurutnya, ia kerana mereka “terlalu tua” untuk bergelar kumpulan idola sekarang.

“Dari awal, saya selalu berkongsi dengan peminat saya bahawa saya berbangga sepenuhnya bahawa saya adalah T.O.P BIGBANG, tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya mula terfikir bahawa mungkin ini adalah penghujungnya, dan mungkin tidak akan ada T.O.P BIGBANG buat sementara waktu,” katanya.

Dia kemudiannya menyentuh mengenai penantian BIGBANG yang mengambil masa selama lima tahun, yang mana dalam tempoh terbabit kesemua anggota kumpulan itu menumpukan selengkapnya pada latihan ketenteraan mereka, namun juga dihimpit dengan skandal berkenaan kumpulan dan isu peribadi masing-masing.

Luah T.O.P, dalam tempoh lima tahun mereka berpisah itu, kesemua mereka telah berkembang dalam cara yang tersendiri seiring dengan citarasa muzik dan aktiviti yang berbeza antara satu sama lain.

Melangkah ke hadapan, T.O.P mengatakan bahawa dia kini ingin membuat muzik yang selaras dengan citarasanya sendiri, justeru, keutamaan muzik BIGBANG dan T.O.P tidak lagi sama.

Lanjutnya, dia tidak sabar untuk berehat daripada identiti kumpulannya untuk memberi tumpuan kepada dirinya sendiri.

“Bersikap jujur dengan peminat, saya benar-benar tidak mahu mengatakan ini adalah yang terakhir saya kembali sebagai BIGBANG. Tetapi secara jujur lagi, ia mungkin mengambil masa yang lama untuk saya kembali sebagai T.O.P BIGBANG.

“Sepanjang lima tahun itu, citarasa muzik dan aktiviti kami mungkin jauh berbeza, dan kini muzik BIGBANG dan muzik T.O.P agak berbeza. Saya berada di peringkat dalam hidup saya yang mana saya ingin dibangunkan dengan cabaran dan peralihan baru,” ulasnya.

Dalam perkembangan lain, BIGBANG dijadualkan untuk membuat kemunculan semula mereka yang dinanti-nantikan ramai menjelang musim bunga tahun ini.


Sumber: [1]