Kerajaan tidak akan mengenakan sekatan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang tidak menerima vaksin COVID-19.
Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, golongan itu tidak akan disekat seperti golongan dewasa yang tidak divaksin berikutan Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) tidak diwajibkan.
Bagaimanapun, para ibu bapa digalakkan untuk mendaftar anak mereka di aplikasi MySejahtera (MySJ) bagi melindungi mereka daripada dijangkiti COVID-19.
“Daftar anak anda (5-11 tahun) untuk #PICKids di MySJ. Lindungi mereka dari COVID-19,” katanya menerusi satu entri yang dimuat naik di Twitter.
Minggu lalu, Khairy memaklumkan sistem tempahan janji temu pemberian vaksinasi kanak-kanak melalui MySJ akan dibuka pada akhir bulan ini, bermula di Lembah Klang dahulu.
Menerusi inisiatif itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos satu vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh dua bulan dari tarikh program dilancarkan, iaitu pada awal Februari tahun ini, dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan.
Sumber: [1]