Kanak-Kanak Bawah Usia 10 Tahun Sukar Dijangkiti COVID-19

Satu kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah menghasilkan lebih banyak antibodi sebagai tindak balas terhadap jangkitan coronavirus berbanding golongan remaja dan orang dewasa.

kanak-kanak bawah usia 10 tahun sukar dijangkiti covid-19

Penemuan tersebut sekali gus menjelaskan mengapa kanak-kanak kurang terdedah kepada COVID-19 dengan gejala yang teruk berbanding orang dewasa.

Menurut penulis kajian tersebut, perkara itu mungkin disebabkan tindak balas imun yang berkait rapat dengan faktor usia.

Sehubungan dengan itu, sepasukan penyelidik telah membuat penyelidikan mendalam terhadap hampir 32, 000 ujian antibodi dari New York antara April dan Ogos 2020.

Hasil daripada kajian terbabit, mereka mendapati bahawa golongan kanak-kanak dan orang dewasa menunjukkan tanda-tanda jangkitan di masa lalu sebanyak 17% dan 19% masing-masing.

Para penyelidik berkenaan kemudiannya memeriksa subset pesakit yang diuji positif daripada 85 kanak-kanak dan 3, 648 orang dewasa untuk menentukan tahap antibodi imunoglobulin G (IgG), sejenis antibodi utama yang berfungsi melindungi manusia daripada jangkitan bakteria dan virus, dalam badan mereka.

Berdasarkan kajian tersebut, 32 kanak-kanak berumur satu hingga 10 tahun menunjukkan tahap IgG rata-rata hampir lima kali lebih tinggi berbanding 127 orang dewasa muda yang berusia 19 hingga 24 tahun.

Seterusnya, para penyelidik tersebut memfokuskan pada sekumpulan 126 pesakit positif berusia satu hingga 24 tahun untuk menentukan tindak balas antibodi dengan lebih baik.

Hasil daripada kajian tersebut, tiada antara mereka yang mengalami gejala COVID-19 yang teruk.

Pada kumpulan terakhir yang rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak berusia satu hingga 10 tahun, mereka didapati memiliki antibodi IgG melebihi dua kali ganda berbanding remaja berusia 11 hingga 18 tahun.

Ia adalah dua kali ganda daripada kadar purata orang dewasa muda yang berumur 19 hingga 24 tahun.

 

Sumber: [1]