Joan Mir tamatkan perlumbaan GP Valencia di kedudukan ke-7.
Namun, keputusan itu cukup untuk membolehkan pelumba Suzuki tersebut bergelar juara dunia.
Ini selepas pencabar terdekat, Fabio Quartararo gagal menamatkan perlumbaan.
Mir mengumpul 171 mata secara keseluruhan untuk meraih kejuaraan dunia pertamanya dan ini merupakan tahun keduanya dalam saingan MotoGP.
Franco Morbidelli menjuarai perlumbaan GP Valencia gagal menghalang Mir daripada muncul juara selepas ketinggalan 29 mata di belakang Mir dengan berbaki 1 perlumbaan lagi musim ini.
Mir juga merupakan pelumba Suzuki pertama untuk bergelar juara dunia dalam tempoh 20 tahun!
Pelumba kelahiran Sepanyol ini juga muncul juara Moto3 pertama yang berjaya menjuarai kelas perdana.
Mir menjuarai Moto3 pada 2017 kemudian beraksi dalam saingan Moto2 selama setahun dan terus ditawarkan untuk beraksi dalam saingan perdana sejak tahun lepas.
Kali terakhir Suzuki memiliki pelumba bergelar juara dunia adalah pada tahun 2000 iaitu Kenny Roberts Junior.
Lebih manis buat Suzuki, pasukan itu berpeluang untuk meraih gelaran ‘triple crown’ iaitu muncul juara kategori pelumba, pasukan dan pengeluar.
Sama-sama kita nantikan perlumbaan terakhir minggu depan iaitu GP Portugal untuk kita tengok mampu tak Suzuki menjuarai semua kategori musim ini.
Oleh: Karami Kamel