Astro Originals Tampil Dengan Siri ID: Sisi Gelap Media Sosial & Kecurian Data

Drama siri premium terbaharu daripada Astro Originals, ‘I.D’ mendedahkan tentang insiden serta isu-isu yang berlaku di media sosial, terutamanya berkaitan keselamatan data dan jenayah siber akibat salah laku penggunaan data peribadi.

‘I.D’ merupakan siri drama premium terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Alpha47 bakal bersiaran pada 23 Februari, 9 malam, menerusi Astro Premier (Saluran 410) atau boleh menyaksikan episod awal di setiap minggu bermula 12 tengah malam menerusi platform On Demand dan Astro GO. 

astro originals tampil dengan siri id: sisi gelap media sosial & kecurian data

Drama premium 8 episod ini menampilkan barisan bakat berpengaruh tempatan termasuk Naim Daniel (Aidi Zabran), Amelia Henderson (Anggun Zahara), Aedy Ashraf (Jazman Rahim), Datuk Rosyam Nor (Rahim Abadi), Ellyza Azizi (Alia Mukhriz), Shantini Venugopal (Patti Shanti), Joyce Harn (Jo), Jo Kukathas (Dato Kumari Lakshmi) dan ramai lagi.

“Idea I.D tercetus apabila melihat persekitaran saya, di mana orang muda sekarang kebanyakkannya hidup dalam dunia digital. Jadi saya cuba salurkan suara orang muda dan cabaran zaman sekarang menerusi sebuah karya, maka terhasillah I.D”, kata Pengarah dan Idea Asal I.D, Razaisyam Rashid. 

I.D, mengisahkan Aidi, seorang pereka aplikasi yang telah mencipta BEBAS App, aplikasi penting yang digunakan sewaktu penularan wabak dengan menempatkan maklumat-maklumat pengguna bagi tujuan pemakluman info semasa.

Akibat dendam,  Aidi telah mencuri 27.7 juta maklumat pengguna daripada BEBAS App dan mencipta watak baharu iaitu Tengku Remy di alam maya untuk berkenalan dengan Anggun. Data yang digodam oleh Aidi juga telah dijual kepada pihak yang tidak bertanggungjawab demi mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Namun tanpa disedari, aktiviti haram yang dilakukan ini telah menjerumus kepada masalah besar yang bakal menimpa Aidi.

Para pelanggan Astro boleh menyaksikan episod-episod baharu I.D pada 9 malam, setiap Jumaat di Astro Premier (Saluran 410) menerusi On Demand dan Astro GO.