Ibu Bapa Seharusnya Risaukan Jangkitan COVID-19 Pada Anak, Bukan Vaksin - Pakar

Berikutan program vaksinasi yang dikhususkan untuk golongan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau PICKids baru sahaja dilancarkan pada 3 Februari lalu, ramai ibu bapa dilihat masih “bertatih” dengan kebanyakan mereka mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mendaftarkan anak untuk program itu.

ibu bapa seharusnya risaukan jangkitan covid-19 pada anak, bukan vaksin - pakar

Demikian itu, ramai pakar kesihatan berpendapat ibu bapa yang berkenaan menyempitkan tumpuan mereka terhadap vaksin dan gagal melihat keseluruhan isu jangkitan COVID-19 yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat wabak itu.

Menurut Pakar Perunding Klinikal Imunologi Klinikal dan Alergi Pediatrik di Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Intan Hakimah Ismail, fahaman ibu bapa bahawa antibodi anak kecil itu masih kuat sebenarnya menghalang risiko anak dijangkiti COVID-19 yang serius berbanding kesan advers vaksinasi.

“Berdasarkan data sejarah vaksin sedia ada, kebanyakan kesan buruk vaksin berlaku dalam tempoh enam minggu pertama selepas suntikan dan kesan jangka panjang yang negatif selalunya tiada.

“Dua dos vaksin COVID-19 lengkap boleh menjana tindak balas imun yang kuat kepada kumpulan kanak-kanak terbabit dan mampu mencegah kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19,” terangnya.

Bukan itu sahaja, tambah beliau, pengambilan vaksin juga akan melindungi kanak-kanak daripada sindrom multisistem radang pada golongan tersebut atau MIS-C, iaitu komplikasi COVID-19.

Walaupun MIS-C jarang dilaporkan berlaku, namun jika terjadi, ia mampu membawa akibat yang sangat serius sehingga berupaya menyebabkan kematian, jelas Dr Intan Hakimah.


Sumber: [1]