Pelakon yang dikenali menerusi watak sebagai Hulk, Mark Ruffalo telah menyelar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang melabel kematian ribuan nyawa di Gaza sebagai satu bentuk kerosakan akibat perang, sebagai tidak berperikemanusiaan.
Menurut Ruffalo, mangsa peperangan di Gaza tidak seharusnya dilabel sedemikian dan rejim Zionis perlu ada rasa simpati daripada terus melakukan kekejaman seperti itu.
“Maaf, mereka bukan ‘kerosakan akibat perang’ sebaliknya mereka adalah manusia yang dilahirkan dan menetap di Gaza, kebanyakan mereka terperangkap di sana.
“Tolonglah ada rasa simpati, mereka rakyat Palestin yang bernyawa, bukannya bangunan, jalan raya atau benda lain,” katanya dalam aplikasi X.
Menurut Ruffalo, nasib orang awam penduduk Palestin, tahanan dan tebusan juga tidak harus dijadikan mangsa kezaliman Zionis.
“Mereka adalah manusia, begitu juga tebusan yang nyawa mereka mungkin akan dimusnahkan oleh anda (zionis).
“Mereka bukan sebuah ‘kerosakan’, ujarnya.
Ruffalo dalam pada itu turut berkongsi kenyataan Netanyahu yang disifatkan tiada belas kesihan kerana memandang kematian rakyat Palestin ketika ini hanyalah sebagai kerosakan akibat perang.
Sumber: Kosmo! / Twitter